Kenapa kaum ibu berpendapat 60 hari cuti bersalin tidak mencukupi?
Azyyati Ahmad
Januari 16, 2014 06:59 MYT
Januari 16, 2014 06:59 MYT
Golongan ibu mengeluh betapa cuti bersalin yang ditetapkan sebanyak 60 sehingga 90 hari sememangnya tidak mencukupi selain tidak cukup rehat selepas bercuti.
Menurut beberapa pengalaman para ibu yang dihubungi Astro AWANI hubungi, rata-ratanya memberitahu pengalaman yang sama iaitu harus menyambung rutin berjaga pagi menjaga anak selepas waktu bekerja.
Lebih-lebih lagi kepada ibu yang tidak mempunyai pembantu rumah, masa rehat memang tiada langsung sebaik sahaja anak dilahirkan.
“Ramai berpendapat cuti bersalin adalah waktu ‘honeymoon’ hanya kerana waktu cuti itu dilihat panjang iaitu selama 60 hari, padahal tidak” kata ibu beranak satu, Syarmeira Salleh, 29.
Syarmeira yang baru sahaja melahirkan anak empat bulan lepas turut bersetuju agar cuti bersalin dipanjangkan.
“Saya hantar anak ke taska sejak umurnya dua bulan, ketika itu kepala anak masih lagi lembut. Itu adalah risiko yang perlu saya ambil demi tanggungjawab di tempat kerja, kalau cuti bersalin dipanjangkan sekurang-kurangnya empat bulan mungkin anak lebih stabil untuk diserahkan kepada taska” kata Syarmeira yang menghantar anak lelakinya ke taska berhampiran rumahnya di Seri Kembangan dengan bayaran RM650 sebulan.
“Memang penat, lebih-lebih lagi selepas waktu bekerja saya kena berjaga malam sebab anak akan menyusu setiap jam” katanya lagi.
Syarmeira turut mengakui sebaik sahaja menyambung tugas di tempat kerja, prestasinya menurun kerana penat, bimbang dan pada masa tidak boleh fokus terhadap pekerjaan kerana risaukan keselamatan anak di taska.
“Bila selalu lewat atau selalu ambil cuti ke tempat kerja, rakan sekerja akan pandang serong.
“Tetapi orang tak faham, kalau anak sakit atau meragam, memang terpaksa berjaga malam untuk menjaga dia atau paling tidak ambil cuti” ujarnya.
Manakala Noor Ahlina Ramli, 27 juga bersetuju agar cuti bersalin dipanjangkan agar kualiti menyusukan anak lebih terjamin.
“Saya hantar anak ke rumah ibu mertua kerana takut nak hantar ke taska” katanya ibu kepada seorang anak perempuan berumur setahun.
“Oleh kerana perlu bertugas semula, anak tidak dapat menyusu dengan sebaiknya kerana kadangkala saya perlu bekerja lebih masa. Saya memilih untuk memberikan susu formula agar anak kenyang cepat.
“Kalau cuti diberikan lebih panjang, mungkin saya dapat menyusukan anak dengan lebih baik” katanya kepada Astro AWANI.
Ahlina juga merasakan yang cuti 60 hari yang diterimanya hanya cukup sekadar untuk si ibu memulihkan badan.
“Rehat memang tak ada sama sekali, 60 hari itu hanya untuk ‘recovery’ sahaja selepas bersalin” ujarnya lagi.
Sementara itu, menurut survey yang dijalankan oleh Astro AWANI lebih 65 peratus responden merasakan cuti bersalin yang diperuntukkan kerajaan perlu lebih dari 90 hari.
Terus memberikan pendapat anda bersama Astro AWANI dan sertai pungutan suara kami di sini.