Kenapa cakap Bersih 4 gagal sebab tak ramai Melayu turun? - Hatta Ramli

Mariah Ahmad
Ogos 30, 2015 13:44 MYT
Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli turut menyeru kepada rakyat Malaysia untuk terus bersabar berhimpun memandangkan 'klimaks' Bersih 4 akan diadakan pada jam 12 malam. - Gambar Astro AWANI/MARIAH AHMAD
Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli hari ini mempersoal tindakan provokosi sesebuah pihak yang menyifatkan perhimpunan Bersih 4 tidak berjaya berikutan kurang sambutan dan penyertaan daripada masyarakat Melayu.
"Ada yang cakap himpunan ini mungkin gagal sebab yang turun bukannya Melayu. Ini menunjukkan masih lagi yang bercakap atas nama perkauman.
"Saya yakin kalau kita memahami keadaan yang berlaku di negara kita sekarang, tidak kira bangsa apa sekalipun, patut berada di sini," jelasnya ketika berucap kepada peserta perhimpunan Bersih 4 di Jalan Raja, di sini.
Beliau juga menyeru kepada rakyat Malaysia untuk terus bersabar berhimpun memandangkan 'klimaks' Bersih 4 ini akan diadakan pada jam 12 malam nanti.

"Klimaks perhimpunan hari ini adalah pada jam 12.00 malam ini" - Dr Hatta Ramli. #Bersih4 @501Awani pic.twitter.com/uSNjfoG3rf

— Mariah Ahmad (@A_marea) August 30, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata sungguhpun kalau betul dakwaan yang menyatakan ramai masyarakat Cina yang turun berbanding Melayu, mereka hadir bukan atas dasar sentimen perkauman tapi atas dasar memperjuangkan hak-hak mereka sebagai rakyat Malaysia.
"Janganlah kita mengaitkan semua isu dengan perkauman. Bila reformasi bermula, adakah mereka kata gagal sebab masyarakat Cina tiada? Tiada pun yang kata gagal.
"Isunya adalah, universal. Masyarakat Cina yang datang sini bukan tuntut supaya masyarakat Cina diberi layanan yang lebih baik. Tiada langsung isu yang berkait dengan kaum.
"Apa yang mereka mahu adalah hak universal untuk rakyat Malaysia. Jadi saya tak nampak yang hadir hari ini dari masyarkat Melayu ke Cina ke India ke, mereka hadir sebab mereka rakyat Malaysia.
Jelasnya lagi, semua pihak harus hentikan sikap yang defensif dalam isu 'Melayu tidak datang Bersih4' ini.
Setakat jam 12 tengah hari, perhimpunan Bersih4 masih lagi berjalan lancar apabila peserta disajikan dengan pelbagai persembahan hiburan muzik bermula jam 10 pagi tadi.
Bunyi vuvuzela juga semakin berkurangan, menunjukkan peserta akur dengan larangan menggunakan vuvuzela yang digesa penganjur pada awal pagi Ahad.
#Ahli Parlimen Kuala Krai #Bersih 2.0 #bersih 4 #Dr Hatta Ramli
;