'Kenapa Badan Peguam tidak giat kempen mansuh Akta Hasutan?' - Khairul Azam

Astro Awani
September 21, 2014 19:20 MYT
KHAIRUL AZAM: Kenapa Badan Peguam tidak giat kempen mansuh Akta Hasutan? - Gambar fail
Gerakan Warganegara mempertahankan Akta Hasutan 1948 hairan melihat kempen mansuh Akta Hasutan yang dianggotai Badan Peguam tidak berjalan secara agresif seperti modus operandi mereka ketika mendesak pemansuhan ISA sebelum ini.
Fasilitatornya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, kemungkinan Badan Peguam tidak melihat kempen mansuh Akta Hasutan sebagai bukan fokus utama buat masa ini kerana isu politik lain yang lebih penting.
"Sehingga petang Ahad, laman Facebook Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan menerima jumlah 'like' lebih separuh melebihi laman Mansuh Akta Hasutan 1948 yang dibuat Badan Peguam.
"Walaupun Badan Peguam baru-baru ini meluluskan resolusi memansuh Akta Hasutan, nampaknya fokus mereka untuk menjayakan kempen ini dilihat tidak agresif seperti biasa," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Laman sosial Facebook Gerakan Mansuh Akta Hasutan dan Gerakan Warganegara mempertahankan Akta Hasutan 1948 - Gambar Facebook
Pada Jumaat, Badan Peguam Malaysia dalam mesyuarat agung luar biasanya (EGM) meluluskan usul memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan mengadakan protes berjalan kaki secara aman.
Pengerusinya, Christopher Leong berkata, Badan Peguam Malaysia turut menggesa Majlis Peguam untuk segera menganjurkan protes aman and mengambil tindakan selanjutnya yang dianggap setimpal bagi menjulang prinsip Badan Peguam Malaysia.
Badan itu turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar mematuhi janji untuk memansuhkan akta itu dengan serta-merta serta Peguam Negara untuk segera menarik balik segala dakwaan, kes dan menggugurkan semua rayuan di bawah Akta Hasutan.
Selain Badan Peguam, lebih 112 pertubuhan masyarakat sivil lain bersatu dan melancarkan pembentukan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) pada 15 September lepas demi membantah penggunaan berterusan undang-undang Akta Hasutan 1948.
Pada 2010, Presiden Badan Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan menuntut agar kerajaan Umno-Barisan Nasional menghormati dan menegakkan hak asasi rakyat Malaysia, seiring dengan taraf Malaysia sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada masa itu, Ragunath juga menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri dan meminta pemansuhan ISA dan dua akta lain yang membenarkan penahanan tanpa bicara iaitu Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Selain itu, Badan Peguam pada waktu itu turut menuntut pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Buang Negeri 1959 yang menghadkan pergerakan warga Malaysia di tanah air sendiri.
Tambah Khairul Azam, pihaknya juga akan mengekalkan momentum mendahului gerakan yang meminta Akta Hasutan dimansuhkan tanpa dipengaruhi sebarang isu lain.
Pada Sabtu, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah berkata pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dahulu adalah satu kesilapan dan berharap pihak kerajaan tidak mengulanginya dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948.
#akta #Azam #Facebook #ghah #hakim #hasutan #ISA #peguam
;