'Kenapa Anwar tidak mahu jalani ujian poligraf?' - Khairuddin
Astro Awani
Januari 9, 2020 17:00 MYT
Januari 9, 2020 17:00 MYT
Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu menjalani ujian poligraf dalam siasatan polis terhadap laporan salah laku seks dibuat bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther. menghairankan.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Presiden PKR itu sudah dituduh dan kini perlu membuktikannya bercakap benar dengan sukarela mahu menjalani ujian berkenaan.
"Saya amat hairan dengan sikap Anwar yang menyatakan tiada asas baginya menjalani ujian poligraf. Hakikatnya, dia dituduh dan menafikan perbuatan tersebut.
"Bagi membuktikan dia bercakap benar dalam penafiannya itu, lebih baik Anwar membuktikan kepada keseluruhan rakyat bahawa dia berani menjalani ujian itu secara sukarela seperti yang dilakukan Muhammed Yusoff.
Prinsip berani kerana benar mesti dijunjung oleh Anwar. Sekiranya tidak benar, apakah senang bagi Muhammed Yusoff hendak melakukan tuduhan secara sumpah berkanun serta terbuka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Anwar menegaskan tiada asas untuknya melakukan ujian poligraf dalam siasatan polis terhadap laporan salah laku seks dibuat Muhammed Yusoff.
Dalam pada itu kata Khairuddin, Anwar seharusnya membuat saman malu terhadap Muhammad Yusoff jika ia fitnah semata-mata.
"Anwar sendiri harus membuat laporan polis ke atas Muhammad Yusoff. Namun dalan isu ini Muhammad Yusoff telah lulus ujian poligraf dan mengambil sikap berani," tegasnya.
Pada November tahun lalu, Muhammed Yusoff membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar, namun dinafikan oleh presiden PKR itu yang mendakwa beliau sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada tarikh berkenaan.
Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan dan telah memanggil Muhammed Yusof dan Anwar untuk memberi keterangan berhubung kes itu.
Ujian poligraf telah dibuat ke atas Muhammed Yusof pada 17 Disember tahun lalu bagi membantu siasatan polis.
#Anwar Ibrahim
#fitnah
#Khairuddin Abu Hassan
#muhammad yusof rawther
#Parlimen
#pilihan raya
#PKR
#poligraf
#polis
#presiden
#rakyat
#seks
#siasatan