"Kenapa anak curi pensel ditegur, pembesar 'sakau' berbilion dicium tangan?" - PM Anwar

Ridauddin Daud
Julai 27, 2023 18:04 MYT
Anwar (empat, kiri) menyampaikan Anugerah Utama Guru Madani Negeri Sembilan kepada Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Roslin Balia (tiga, kanan) pada majlis hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan sesekali mengizinkan wang negara diambil secara haram.
Katanya, berdasarkan prinsip itu, beliau menjadikan dirinya sebagai contoh dengan tidak mengambil gaji seorang Perdana Menteri.
Tambah beliau, meskipun ada yang menyindir mengatakan beliau sudah kaya namun tegas Anwar, ia bukan soal kaya atau tidak kaya.
Tegas Perdana Menteri, beliau tidak mahu mengambil gaji itu kerana memikirkan gaji golongan tertentu seperti guru masih rendah.
Selain itu ramai yang masih bergaji RM1,200 sedangkan mereka juga bekerja.
“Saya kata biarlah. Halal lah. Saya tak fikir saya miskin.
“Ada yang cakap berdegar-degar Hidup Melayu, Islam, bersih tapi sakau (mencuri) berpuluh juta. Susahlah. Guru ini pendidik. Kadangkala, anak yang curi pensel pun ditegur.
“Biasalah, kadangkala ada yang nakal-nakal itu, curi pensel. Anak di sekolah curi pensel, kita tegur supaya dipulangkan.
“Ada pembesar, pemimpin curi berbilion ringgit. Bila dia datang, kamu cium tangan dia. Kamu ajar apa?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Guru-Guru Negeri Sembilan 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Khamis.
Perdana Menteri turut menasihatkan supaya semua rakyat menjaga akhlak, menjaga nilai dan mempunyai sifat ihsan dan rahmah sekiranya mahu menyelamatkan negara.
“Semua diteraskan dengan nilai. Kita adalah manusia.
“Manusia ini diangkat darjatnya kerana karamah insaniah, kerana akhlak, kerana nilai, tak sombong apatah lagi merompak hak orang lain.
“Bukan kerana pertuturannya. Itu tak lengkap. Dia mestilah berbicara dengan baik, diikuti dengan amalan yang baik,” ujarnya lagi.
#Anwar Ibrahim #sakau #Rasuah #gaji perdana menteri
;