Kenapa anak-anak kita jadi pembuli?
Astro Awani
Jun 5, 2014 09:30 MYT
Jun 5, 2014 09:30 MYT
SATU lagi rakaman video pelajar sekolah bergaduh tersebar melalui jaringan media sosial. Sekurang-kurangnya ini adalah rakaman video yang kedua atau yang ketiga dalam masa seminggu ini. Ini bukan perkara baru. Apa yang baru barangkali ialah kejadian seperti ini senang tersebar kepada umum — terima kasih kepada teknologi yang memudahkan komunikasi.
Ini bukan kejadian gaduh, sebenarnya. Ini kes buli. Seorang pelajar dikelilingi oleh sekumpulan pelajar lain. Pelajar yang seorang itu kemudiannya dicaci, dimaki, dihina dan kemudiannya dipukul.
Kenapa kejadian buli seperti ini terus berlaku? Kenapa seorang remaja boleh membiarkan dirinya terus jadi mangsa buli? Kenapa sistem keluarga atau sistem sokongan di sekolah atau sistem masyarakat gagal membendung gejala buli? Apakah mungkin mereka yang terlibat ini kurang perhatian dan kasih sayang?
Apakah yang ada dalam fikiran mereka ini sebenarnya? Apakah yang pelajar-pelajar itu fikirkan semasa mereka melakukan aksi buli itu? Apakah yang mereka dapat dengan membuli?
Sejauh mana pula pengaruh budaya popular membentuk pemikiran mereka? Anda saksikan rakaman video di bawah ini. Di mana mereka belajar bercakap seperti ini?: "Gua pailang; itu Kak Yong". Bukankah itu antara dialog yang dipopularkan oleh filem-filem gangster yang berlambak di pawagam dan kemudiannya di televisyen?
Apakah ini harga yang kita bayar sekarang selepas masyarakat diasak dengan filem-filem tempatan yang mengangkat citra samseng? Apakah ini kejayaan sumbangan sebahagian karyawan filem kita kepada 'pembangunan masyarakat'?
Kami mahu mendengar suara dan pandangan anda untuk kita sama-sama memahami isu masyarakat ini. Kami memahami keresahan dan kemarahan anda melihat apa yang berlaku. Tetapi kami juga mahu anda berkongsi apakah jalan keluar daripada permasalahan ini.
Sekiranya anda pernah jadi mangsa buli, bersediakah anda berkongsi pengalaman itu? Sekiranya anda pernah menangani kes buli, kami mengalu-alukan juga pengalaman anda.
Kirimkan maklumbalas anda tidak lebih daripada 200 patah perkataan kepada feedback@astroawani.com. Kami akan menyiarkan pandangan terpilih.