Kenangan Bazar Bulat yang masih 'hidup', reka bentuk unik
Aida Aziz
Jun 4, 2023 10:30 MYT
Jun 4, 2023 10:30 MYT
IPOH: Masih ramai yang mengingati kewujudan Bazar Bulat atau Pasar Bulat yang terletak di pekan Ipoh selama lebih 40 tahun, walaupun bangunan itu telah dirobohkan pada tahun 2001.
Malah, tapak bazar tersebut sudah didirikan bangunan baharu dinamakan The Octagon, yang namanya diabadikan sempena keunikan reka bentuk Bazar Bulat berbentuk oktagon.
Jika ditanya penduduk lama di bandar raya ini, pasti akan merujuk kawasan itu sebagai Bazar Bulat yang fungsinya sewaktu masa dahulu begitu meluas dan menjana ekonomi setempat.
Mengikut sumber dari Abdur-Razzaq Lubis & Khoo Salma Nasution, Ipoh The City That Tin Built dan Ipoh, Perak State Government, 1999, Yau Tet Shin mendapat tender bagi membina 300 buah rumah kedai dan sebuah pasar di tebing kanan Sungai Kinta pada tahun 1905.
Kemudiannya kawasan itu menjadi Pekan Baru Ipoh.
Sebelum ini pasar tersebut dinamakan sempena nama Yau Tet Shin, bagaimanapun malangnya ketika itu pasar ini tidak mampu menandingi kesibukan Pasar Besar Ipoh.
Menurut pengkaji sejarah, Nor Hisham Zulkiflee, bagi menjenamakan atau menghidupkan pasar ini, pada tahun 1961 Majlis Bandaran Ipoh menjemput arkitek dari seluruh Tanah Melayu dan Singapura bagi mereka bentuk semula bangunan itu.
"Pada peringkat awal pembinaan pasar tahun 1905, kita tidak tahu bagaimana bentuknya. Bazar Bulat itu mula dibina 1961, memandangkan bangunan pasar lama tidak mendapat sambutan.
"Reka bentuk baharu pusat perniagaan atau bazar ini dimenangi oleh Architect Booty & Partners dengan kos pembinaan sebanyak $500,000.
"Ia berperanan sebagai Pasar Yau Tet Shin dan pusat membeli-belah, sejak itu bangunan tersebut menjadi mercu tanda Ipoh yang dikenali sebagai Bazar Bulat.
"Setelah dibina semula, ia menjadi pasar yang menjual pelbagai barang seperti kompleks membeli-belah serta mendapat sambutan baik dari peniaga dan orang ramai.
"Kalau di Kedah ada Pasar Rabu, di sini pula ada Bazar Bulat,"katanya ketika ditemui.
Katanya lagi, keunikan bangunan ini juga ada diselitkan dalam buku Town Boy karya Datuk Lat.
"Sampai sekarang ada beberapa jenis perniagaan atau restoran yang dibuka di Bazar Bulat dulu seperti Nasi Ayam Fuziah, masih beroperasi dan menjadi tarikan warga Ipoh," katanya.
Ujar Nor Hisham lagi, pada tahun 2001 bangunan tersebut tidak lagi selamat untuk digunakan dan dirobohkan atas tujuan keselamatan.
Kemudiannya, sebuah bangunan hotel dinamakan Octagon dibina di atas tapak yang sama.
Sementara itu, bagi penduduk Ipoh, Mior Khairudin Mohd Idris, 54, dia menyifatkan Bazar Bulat sebagai nostalgia yang menggamit kenangan.
"Kalau dulu memang meriah di situ, ada gerai jual makanan, pakaian dan sebagainya. Paling popular waktu itu tentunya gerai Nasi Ayam Fuziah yang kekal sampai sekarang.
"Memang orang ramai dari Ipoh dan daerah lain datang sini beli baju bersama keluarga, ada juga jadikan tempat ini berkumpul dengan rakan-rakan. Sampai sekarang kami panggil tempat itu sebagai Bazar Bulat," katanya yang menetap di Station 18.