Kenal Raimon Mawang? Ketua Geng Ramos ini sedang diburu
Ruzaini Zulkepli
Ogos 27, 2018 23:09 MYT
Ogos 27, 2018 23:09 MYT
Kegiatan lima anggota Geng Ramos yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah akhirnya tumpas dalam tangkapan berasingan di sekitar Inanam pada Jumaat lalu.
Suspek yang masing-masing berusia diantara 23 hingga 30 tahun ditahan pada tengah malam hari yang sama setelah pihak polis mengekori gerak-geri ahli kumpulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata kumpulan Geng Ramos ini bergiat aktif dalam kegiatan pecah rumah kira-kira setahun lalu di sekitar Kota Kinabalu khususnya di kawasan Inanam.
"Dengan tertangkapnya lima ahli Geng Ramos ini, kita percaya bahawa kita telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes berkaitan pecah rumah.
"Kesemua lima suspek setakat ini berjaya diberkas manakala suspek utama yang juga ketua Geng Ramos, Raimon Mawang masih dalam buruan polis.
"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan memecah masuk ke dalam rumah yang ditinggalkan kosong. Mereka kemudiannya akan menyelongkar rumah tersebut dengan mencari barang-barang berharga sebelum jual barang tersebut untuk membeli dadah bagi kegunaan sendiri," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga sehingga esok dan akan disiasat dibawah Seksyen 457 Pecah Rumah.
Dalam kes berasingan, pihak polis turut menahan seorang lelaki yang memiliki tiga senjata api tiruan di sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu pada pukul 4 pagi, Sabtu lalu.
Suspek yang berusia 20 tahun itu ditahan dalam keadaan mabuk dipercayai bergaduh bersama seorang pelancong warga asing.
"Sejurus pihak polis tiba di tempat kejadian, seorang lelaki telah bertindak agresif dimana suspek tersebut memegang sepucuk pistol.
"Tangkapan dibuat dan pergelutan turut berlaku diantara suspek dan polis. Selepas berjaya membuat tangkapan, kita berjaya merampas tiga pucuk pistol di lokasi berbeza jenis GLOCK dan SCAR-L," katanya.
Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja.
Kes disiasat dibawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.