Kenal pasti pemilik rumah, tanah terbiar banteras denggi

Bernama
Januari 26, 2018 14:38 MYT
Anggota JKKK di kawasan yang dilaporkan berlaku kes demam denggi perlu mengenal pasti pemilik rumah dan tanah terbiar untuk memudahkan kerja gotong-royong diadakan. - Gambar fail/BERNAMA
Kawasan rumah dan tanah terbiar di Terengganu dikenal pasti antara lokasi utama tempat pembiakan nyamuk aedes kerana ia menjadi tempat 'pembuangan sampah tidak rasmi' oleh masyarakat setempat.
Sehubungan itu, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Terengganu terutama di kawasan yang dilaporkan berlaku kes demam denggi perlu mengenal pasti pemilik rumah dan tanah terbiar untuk memudahkan kerja gotong-royong diadakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang berkata sebagai contoh, terdapat tiga sekeluarga menghidap demam denggi di Kampung Pengkalan Berangan di sini sedangkan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan rumah mereka.
"Namun pemeriksaan mendapati tempat pembiakan nyamuk aedes itu berada di kawasan rumah terbiar yang terletak bersebelahan rumah mangsa dan di kampung ini juga terdapat enam rumah terbiar yang sukar dimasuki kerana faktor keselamatan...jadi proses membersihkan itu sukar dilakukan kecuali mendapat keizinan pemilik rumah atau tuan tanah.
"Saya berharap JKKK dengan kerjasama Pejabat Daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengenal pasti pemilik rumah terbiar ini agar kita boleh dapat keizinan masuk untuk membersihkan...atau jika mereka tidak mahu lagi rumah itu, kita boleh robohkan bagi memastikan ia tidak lagi menjadi tempat pembuangan sampah sekali gus lokasi punca wabak denggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis gotong-royong 'Ayuh Gempur Aedes' yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar di sini hari ini.
Lebih 200 masyarakat setempat hadir ke majlis gotong-royong perdana itu yang melibatkan Pejabat Daerah, Majlis Daerah Marang, Jabatan Kesihatan dan murid sekolah.
A Latiff yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata program gotong-royong perdana itu adalah permulaan kepada lebih banyak program pembersihan seumpama itu di kawasan DUN tersebut.
"Kita tidak mahu berlaku satu lagi wabak denggi di kawasan ini...semoga kejadian menimpa tiga sekeluarga itu akan menjadi kes pertama dan terakhir di Marang khususnya di Pengkalan Berangan," katanya.
-- BERNAMA
#JKKK Terengganu #kawasan rumah #nyamuk aedes #pembiakan aedes #pembiakan nyamuk #pembuangan sampah #tanah terbiar #terengganu
;