Kenal pasti masalah perkhidmatan feri sebelum beli katamaran - CAP
Bernama
Disember 16, 2020 05:29 MYT
Disember 16, 2020 05:29 MYT
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengesyorkan agar mengenal pasti masalah dan isu yang dihadapi perkhidmatan feri sedia ada terlebih dahulu sebelum membeli dan menggantikannya dengan katamaran.
Dalam kenyataan hari ini, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata sepatutnya diwujudkan inkuiri awam untuk mengetahui mengapa feri sedia ada gagal, untuk memastikan katamaran tidak mengalami nasib yang sama.
"Jelas sekali feri yang ada sekarang tidak diuruskan dengan baik dan kurang penyelenggaraan, yang jika sebaliknya, boleh menjadikan perkhidmatan feri berdaya maju dari segi kewangan.
"Ia juga mengecewakan apabila maklumat kritikal mengenai perkhidmatan feri tidak sampai kepada penumpang pada waktunya untuk membolehkan mereka membuat rancangan perjalanan alternatif," katanya.
Mohideen mencadangkan agar papan tanda yang menunjukkan masa menunggu dipaparkan agar memudahkan penunggang motosikal dan pejalan kaki membuat keputusan perjalanan alternatif.
"Dengan perkhidmatan yang cekap, lebih ramai orang akan didorong menggunakan perkhidmatan feri, yang jika sebaliknya, akan terus melihat penurunan jumlah penumpang," kata Mohideen.