Kenal pasti kawasan tinggi aliran trafik motosikal untuk bina tempat berteduh
Dr Siti Zaharah Ishak
Februari 27, 2019 08:00 MYT
Februari 27, 2019 08:00 MYT
SEWAKTU cuaca hujan, penunggang motosikal terdedah kepada risiko dirempuh oleh kenderaan lain ketika berteduh di bawah jejambat atau hentian berteduh motosikal. Malah, terdapat beberapa kemalangan yang telah berlaku sebelum ini dan ada diantaranya yang telah mengakibatkan kematian.
Terbaharu, kejadian yang berlaku pada 19 Februari 2019 yang mana empat penunggang motosikal cedera dirempuh ketika berteduh di bawah jejantas di Kilometer 204.4 Lebuh Raya Utara-Selatan.
Menurut Dr. Siti Zaharah Ishak, Ketua Pengarah MIROS, secara umumnya, terdapat dua jenis kawasan berteduh bagi penunggang motosikal.
“Jenis pertama adalah kawasan berteduh khas. Ia dibina secara khusus di kawasan bahu jalan yang mempunyai keluasan yang besar dan menyediakan kawasan yang selamat serta selesa kepada pengguna motosikal untuk berhenti berteduh ketika cuaca kurang baik.
Kapasiti motosikal yang boleh menggunakan fasiliti ini juga adalah tinggi,” kata Dr. Siti Zaharah. “Namun jenis ini memerlukan kos yang tinggi bagi pembinaan dan penyenggaraannya.
Sekiranya kawasan berteduh ini terletak jauh dari jalan raya, terdapat kemungkinan penunggang motosikal tidak perasan atau tidak mahu menggunakan fasiliti ini,” tambah Dr. Siti Zaharah lagi.
Rajah 1: Contoh Kawasan Teduhan Khas bagi Penunggang Motosikal “Jenis kedua pula adalah kawasan berteduh motosikal dibawah jejantas.
Ianya dibina menggunakan ruang yang kebiasaannya terhad dan boleh menempatkan sebilangan kecil penunggang motosikal sahaja. Jenis ini mempunyai akses yang mudah kepada penunggang motosikal dan kos pembinaan dan penyenggaraannya juga adalah lebih rendah”, kata Dr. Siti Zaharah lagi.
Rajah 2: Contoh Kawasan Teduhan Penunggang Motosikal dibawah Jejambat
Dari aspek rekabentuk dan kejuruteraan, lokasi perlindungan atau perhentian motosikal untuk berteduh ini seharusnya berada di dalam keadaan yang terang dan tidak terlindung dari pandangan pemandu yang lain.
“Kawasan berteduh tidak seharusnya berada di selekoh bagi mengelakkan risiko dilanggar oleh kenderaan yang terbabas.
Lokasinya juga perlu diasingkan menggunakan penghadang fizikal seperti penghadang jalan untuk melindungi mereka sekiranya kejadian yang tidak diingini berlaku.
Di samping itu, perlu juga dipastikan bahawa lokasi tersebut mempunyai kapasiti ruang yang mencukupi bagi tujuan menampung motosikal yang berteduh agar kawasan tersebut tidak menjadi terlalu padat sehinggakan terdapat penunggang yang terkeluar dari kawasan berteduh tersebut,” ujar Dr. Siti Zaharah.
Kebanyakan kes-kes kemalangan yang melibatkan rempuhan oleh kenderaan lain di kawasan teduhan motosikal adalah kerana motosikal-motosikal ini diletakkan di lorong kecemasan.
Menurut Kaedah 53 dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959), tiada sebarang kenderaan boleh dipandu, ditunda, ditolak, diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong tambahan atau bahu jalan di sebelah kiri jalan yang ditentukan sebagai lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan yang sementara.
Pengecualian hanya diberi kepada kenderaan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, ambulans, bomba & penyelamat, kastam dan penjara untuk menggunakan lorong kecemasan ini. Oleh yang demikian, penunggang motosikal tidak seharusnya meletakkan motosikal mereka di lorong-lorong kecemasan.
Hal ini akan membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya yang lain. Pada masa ini, jumlah fasiliti ini adalah terhad dan kadang-kala tidak dapat menampung jumlah penunggang motosikal yang ramai.
Oleh itu, pihak berkuasa jalan disarankan untuk mengenalpasti kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah trafik motosikal yang tinggi supaya fasiliti ini dapat dibina dengan secukupnya.
Ini bagi memastikan penunggang-penunggang motosikal ini akan dapat berlindung dengan selamat sewaktu cuaca buruk.
Bagi penunggang-penunggang yang menggunakan fasiliti ini, adalah diingatkan agar sentiasa memastikan motosikal mereka diletakkan di dalam kawasan fasiliti ini dan bukan dibiarkan di lorong kecemasan.
Sikap bertimbang rasa ini boleh mengelakkan pemandu lain dari terdedah kepada bahaya merempuh motosikal-motosikal yang diletakkan di kawasan yang tidak sepatutnya.
Disamping itu, mereka juga perlu memastikan bahawa kawasan berteduh yang ingin digunakan adalah kawasan yang sesuai dan memang dikhaskan untuk motosikal.
Sekiranya ada membawa barang-barang berharga, ianya hendaklah dibawa bersama dan tidak ditinggalkan di motosikal.
Bagi memudahkan pemandu lain menyedari dan melihat penunggang-penunggang motosikal yang sedang berteduh ini, adalah dinasihatkan juga agar penunggang motosikal memastikan bahawa kebolehlihatan (visibility) mereka adalah baik. Sebagai contoh, penggunaan baju hujan beserta pemantul cahaya (reflector) adalah digalakkan.
Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan ini, adalah diharapkan agar kemalangan yang membabitkan rempuhan terhadap penunggang-penunggang motosikal yang sedang berteduh ketika cuaca buruk dapat dielakkan.
* Dr Siti Zaharah Ishak merupakan Ketua Pengarah MIROS.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#fasiliti
#jalan raya
#kemalangan
#kenderaan
#lorong kecemasan
#MIROS
#motosikal
#Siti Zaharah Ishak
#Tempat berteduh