Kenal pasti arah angin untuk tahu punca pencemaran bahan kimia

Fareez Azman
Julai 1, 2019 19:30 MYT
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort yang terjejas akibat pencemaran udara dimandikan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) pada Isnin. - Gambar BERNAMA
TRAGEDI pencemaran udara yang menyebabkan sejumlah pelajar sesak nafas sebaik waktu persekolahan dibuka di Pasir Gudang boleh dikesan dengan merujuk semula kepada pergerakan angin sejak beberapa hari lalu.
Menurut Pensyarah Kanan dan Penyelidik Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Raja Kamarulzaman Raja Ibrahim, penemuan Methyl Mercaptan iaitu bahan kimia yang digunakan dalam gas memasak bagi mewujudkan bau itu antara petunjuknya.
Bahan berkenaan, tegas beliau, tidak dibuang di dalam sungai, sebaliknya dari sumber lain yang dibawa melalui angin yang kuat.
"Kalau ikut laporan ada Methyl Mercaptan, ini bahan kimia digunakan dalam tong gas memasak apabila pengeluar memasukkan sedikit bahan ini sebagai indikator dengan mewujudkan bau gas kerana butane dan propane (gas memasak) tiada bau.
"Gas ini bukan dari sungai (bahan kimia yang termedap) sebaliknya datang dari sumber lain," katanya.
Sementara faktor suhu pula, jelas Dr Raja Kamarulzaman, turut memainkan peranan terutamanya berikutan kedudukan Pasir Gudang berhampiran laut.
Malah Volatile Organic Compound (VOC) benda asing, kata beliau, akan menjadi lebih berat kerana ketumpatan udara pada waktu pagi dan malam pada ketinggian tertentu.
"Waktu pagi dan malam suhu lebih rendah, jadi gas dan VOCs akan lebih sukar untuk naik ke atas (terperangkap pada tahap rendah). Namun bila udara panas, udara menjadi lebih ringan dan gas berbahaya serta VOCs akan lebih mudah terbang ke tahap lebih tinggi.
"Ini boleh dipengaruhi dengan tiupan angin, oleh kerana Pasir Gudang berhampiran laut. Jadi boleh kemas kini dengan jabatan berkaitan untuk mendapatkan maklumat akan arah angin yang membawa VOCs dan gas terbabit," jelasnya
Justeru, seperti yang dicadangkan sebelum ini pemantauan udara perlu dipertingkatkan dalam memastikan tiada VOCs yang masih lagi boleh mengakibatkan kejadian sama berulang.
Dalam insiden Ahad lalu, 101 pelajar beberapa sekolah di Pasir Gudang mengalami sesak nafas, muntah-muntah dan pening selepas terhidu bahan kimia ketika sesi persekolahan dibuka semula.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Pencemaran Pasir Gudang, Mohd Rafee Abdullah, 46, berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan dan pihak kilang di daerah itu menyelesaikan isu terbabit.
Menurutnya, kejadian kali ketiga itu amat mengejutkan penduduk selepas pihak berkuasa dan kerajaan sedang bertungkus lumus menyelesaikan insiden terbabit.
"Sudah memasuki kali ketiga kejadian ini berlaku, ia tidak sepatutunya berulang lagi jika pihak berkuasa dan yang bertanggungjawab menangani perkara ini dengan berhemah.
"Pihak berkuasa sepatutnya mengambil tanggungjawab dalam menangani isu pencemaran ini, saban hari kami di Pasir Gudang tercemar dan terdedah dengan bahan kimia tidak kiralah pelajar sekolah atau orang awam.
"Kami ini bukan bahan untuk di uji kaji bukan juga tikus di makmal. Kenapa sekolah yang ditutup? Kenapa kilang yang diketahui tidak diarahkan ditutup? Apa sudah jadi dengan agensi penguatkuasaan?," tegasnya kepada Astro AWANI.
Justeru, penduduk tambah Mohd Rafee, ingin melihat satu langkah drastik diambil oleh pihak kerajaan dan agensi penguatkuasa terhadap pihak tidak bertanggungjawab menjadi punca kejadian terbabit.
Dari sudut penduduk juga jelas beliau, amat risau akan keselamatan mereka selepas beberapa insiden berlaku.
#Pasir Gudang #pelajar #pencemaran bahan kimia #sekolah #Tragedi Pasir Gudang
;