Kenakan tindakan tegas terhadap syarikat gagal sediakan pekerjaan untuk buruh asing - Johari
Bernama
Januari 6, 2024 18:45 MYT
Januari 6, 2024 18:45 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengulangi gesaannya agar kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat yang menipu pekerja asing dengan tawaran pekerjaan namun membiarkan mereka sebaik tiba di Malaysia.
Johari berkata untuk mencegah Malaysia daripada menjadi tempat perlindungan bagi buruh paksa dan perdagangan manusia, kerajaan harus menangani masalah yang semakin berleluasa ini.
Sambil merungkai masalah berkaitan pekerja asing di negara ini, Johari menegaskan kepentingan memperketatkan lagi prosedur pengambilan kumpulan itu termasuk hanya membenarkan syarikat mendapatkan kuota pekerja asing apabila mereka sendiri memohon tenaga kerja itu.
"Isunya di sini adalah terdapat kemungkinan bahawa sesetengah syarikat memohon kuota pekerja asing tanpa mempunyai sebarang pekerjaan...mereka hanya cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menjual kuota kepada syarikat lain. Ini disifatkan sebagai pemerdagangan manusia atau buruh paksa.
"Adalah penting untuk kerajaan menangani isu berpanjangan pekerja asing ditipu untuk datang ke sini untuk bekerja, dan jika ia berterusan, imej Malaysia akan tercalar, tanpa sebarang kesan terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Johari, yang sebelum ini mencadangkan denda sehingga RM30,000 dikenakan bagi setiap pekerja terhadap syarikat yang gagal menyediakan pekerjaan kepada pekerja asing yang dibawa masuk, berkata agensi atau majikan yang tidak terlibat dalam amalan tersebut tidak perlu bimbang dengan denda oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata cadangannya agar syarikat dan agensi tidak bertanggungjawab juga dikenakan denda bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada mengeksploitasi sistem itu, bagaimanapun telah dibantah oleh Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai.
Menteri itu bagaimanapun menegaskan bahawa pihak yang tidak mengeksploitasi pekerja asing tidak perlu takut dan bimbang dikenakan denda.
"FMM tidak boleh menuding jari kerana agensi tidak boleh memohon kuota tanpa terlebih dahulu mendapat tuntutan daripada syarikat.
"Jika terdapat bukti bahawa agensi menggunakan dokumen palsu untuk menambah kuota yang diminta secara penipuan, maka agensi berkenaan akan dikenakan denda yang tinggi," katanya.
Johari, yang mengemukakan cadangan itu semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu bagi meneliti dilema ini, mendakwa masalah itu menjejaskan semua industri termasuk industri perladangan yang bergelut dengan kekurangan tenaga kerja.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata penalti yang dicadangkan adalah sesuai dengan kesalahan yang dilakukan selain mengurangkan kos yang dibayar kerajaan untuk menghantar pulang pekerja asing itu.
Menurutnya, beliau berasa bertanggungjawab untuk mengemukakan cadangan itu berikutan laporan media pada 25 Dis mengenai penahanan 171 buruh Bangladesh yang pergi ke balai polis Bayu Damai di Kota Tinggi Johor untuk memfailkan aduan terhadap ejen mereka yang tidak menyediakan pekerjaan buat mereka.
-- BERNAMA