Kenakan tindakan tegas atas kecuaian hingga struktur kondominium runtuh - NIOSH
Sahlizah Mohamed
Februari 15, 2020 13:38 MYT
Februari 15, 2020 13:38 MYT
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) percaya pihak berkuasa akan memastikan siasatan dan tindakan tegas dikenakan kepada pihak yang cuai dalam insiden struktur bangunan runtuh melibatkan tapak pembinaan kondominium di Taman Desa.
NIOSH dalam satu kenyataan pada Sabtu menyatakan simpati atas kejadian yang berlaku khususnya kepada pekerja yang terperangkap di dalam runtuhan terbabit.
“Sebagai institusi yang terlibat di dalam memberikan latihan dan kesedaran berkaitan kesihatan dan keselamatan pekerjaan, NIOSH melihat insiden ini sebagai kejadian yang tidak sepatutnya berlaku dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Kami percaya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerja (JKKP) akan mengambil tindakan tegas dalam hal ini,” katanya kenyataan itu.
Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat, dua mangsa yang merupakan pekerja kontrak warga Bangladesh terperangkap di bawah runtuhan sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat.
Kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
Buat masa ini, kawasan pembinaan tersebut ditutup untuk sementara waktu bagi memberi laluan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) membuat penilaian.
Dalam pada itu, NIOSH turut menyatakan bahawa pihak majikan dan pekerja mempunyai tanggungjawab dalam memastikan tempat kerja selamat dan sihat, keperluan prosedur kerja selamat.
“Semoga kejadian ini tidak akan berulang lagi di masa-masa akan datang. Kami berdoa semoga semua mangsa yang terlibat mendapat rawatan yang terbaik dan pulih dengan segera,” jelasnya.
#Bangladesh
#bangunan runtuh
#Hospital
#Khalid Samad
#kondominium
#kondominium runtuh
#Kuala Lumpur
#NIOSH
#Taman Desa
#warga Bangladesh