Kenakan hukuman berat kepada pihak ambil kesempatan atas barangan bersubsidi

Bernama
November 14, 2016 22:50 MYT
Tindakan tidak bertanggungjawab menyorok dan menyeludup barangan bersubsidi seperti minyak masak merupakan suatu jenayah amat berat. - Gambar hiasan
Beberapa anggota Parlimen hari ini mahu kerajaan mengenakan hukuman berat termasuk sebatan kepada peniaga atau individu yang mengambil kesempatan terhadap barangan bersubsidi seperti minyak masak.
Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berkata tindakan tidak bertanggungjawab menyorok dan menyeludup barangan bersubsidi merupakan suatu jenayah amat berat sehingga menyebabkan masalah kepada rakyat khususnya golongan miskin yang memerlukan barangan berkenaan.
"Jika jumlah barangan disorok besar, saya cadangkan supaya mereka dikenakan sebatan, ia setimpal kerana ia sangat menyusahkan golongan miskin yang sepatutnya dapat barangan bersubsidi," katanya.
Hasan berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2017 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Senada dengan Hasan, Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang mahu kerajaan membatalkan lesen peniaga terbabit sebagai pengajaran kepada peniaga lain.
"Tangkap mereka, tarik terus lesen. Jangan bagi lesen lagi, banyak lagi orang lain mahu berniaga, untuk apa kita beri peluang kepada mereka ini," katanya.
Sementara itu, G. Manivannan (PKR-Kapar) berkata sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan suatu akta yang membolehkan hukuman setimpal dikenakan kepada peniaga berkenaan.
Ketika sesi penggulungan RUU Perbekalan 2017 kementerian tersebut, menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata KPDNKK akan melihat cadangan tersebut secara keseluruhan bagi mencari keputusan terbaik dalam menangani isu itu.
"Ketika ini kita lihat secara keseluruhan bukan hanya pada satu akta sahaja agar kita dapat perbaiki akta lain," katanya.
Pada masa sama, Hamzah menegaskan kuota minyak masak bersubsidi atau paket satu kilogram lebih daripada mencukupi berbanding anggaran kegunaan yang diperlukan 30 juta rakyat negara ini.
Beliau berkata penggunaan yang dianggarkan adalah 36,000 metrik tan sebulan, namun kerajaan mengeluarkan lebih 50,000 metrik tan untuk tempoh tersebut.
"Saya akui stok minyak masak tidak cukup apabila sesetengah pengguna membuat pembelian panik dengan membeli minyak masak lebih daripada keperluan malah ada pembekal mula menyimpan stok," katanya.
Mengenai dakwaan kualiti minyak masak bersubsidi dalam bungkusan plastik tidak berkualiti, Hamzah berkata minyak tersebut adalah terjamin dan bukan minyak terpakai yang dikitar semula seperti dakwaan sesetengah pihak.
Hamzah turut menafikan dakwaan bahawa harga gas petroleum cecair (LPG) akan dinaikkan sebanyak RM7 setong mulai tahun depan.
"Kerajaan tidak pernah terfikir untuk bagaimana nak uruskan harga naik atau turun tetapi orang ramai dah berkata seolah-olah harga dah naik," katanya.
-- BERNAMA
#barangan bersubsidi #Hukuman #minyak masak #undang-undang
;