Kenakan caj tambahan kepada pelancong asing - Pakar kesihatan awam
Astro Awani
Jun 20, 2020 14:50 MYT
Jun 20, 2020 14:50 MYT
Pembukaan sempadan kepada individu dari negara-negara yang dikategorikan sebagai zon hijau disambut baik dan disifatkan sebagai langkah ke arah pemulihan sektor ekonomi secara berperingkat.
Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman percaya, tindakan kerajaan itu adalah berdasarkan pola jangkitan COVID-19 yang menunjukkan penurunan.
Walaupun begitu, beliau mencadangkan kerajaan mengenakan caj tambahan kepada pelancong sebagai persediaan logistik seperti kuarantin dan sebagainya sekiranya mereka disahkan positif.
Katanya, pengurusan wabak itu menelan kos yang tinggi justeru kerajaan perlu bersiap sedia.
Antara lain katanya, kerajaan perlu memantau rapat pelancong dari luar termasuk mewajibkan mereka memuat naik aplikasi MySejahtera dan melakukan ujian saringan COVID-19.
"Bermakna ujian saringan ini juga perlu dilakukan di pintu masuk negara meskipun mereka mengaku telah berbuat demikian sebelum berlepas," katanya pada pada Buletin AWANI ketika ditemubual menerusi Skype di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kerajaan sedang meneliti pembukaan semula sempadan antarabangsa untuk enam negara berstatus zon hijau.
Enam negara itu adalah Singapura, Australia, Brunei, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.
#antarabangsa
#Australia
#Brunei
#COVID-19
#ekonomi
#kesihatan
#KKM
#Korea Selatan
#New Zealand
#Sempadan Negara
#Singapura
#ujian saringan
#Universiti Putra Malaysia