Kenaikan tambang tidak sesuai dilaksanakan sekarang - Anggota Dewan Negara

Bernama
Disember 10, 2015 07:30 MYT
Tambang ERL antara yang disentuh beberapa senator yang menyifatkan kenaikan tersebut tersasar dari fokus kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban hidup rakyat yang telah terbeban dengan kenaikan kos lain. - Gambar fail
Kenaikan tambang pelbagai pengangkutan awam menjadi perhatian anggota Dewan Negara semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada Persidangan Dewan Negara di sini pada Khamis.
Tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), transit Aliran Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), monorail disentuh beberapa senator yang menyifatkan kenaikan tersebut tersasar dari fokus kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban hidup rakyat yang telah terbeban dengan kenaikan kos lain.
Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad berkata kenaikan itu dibuat pada masa yang salah, menambah beban rakyat dan tidak sepatutnya berlaku secara serentak.
"Kenapa perlu dinaikkan sekarang? Janganlah buat perkara yang tidak cerdik ini. Kita tidak lama lagi ingin adakan pilihan raya umum, maka buatlah sesuatu yang menyenangkan rakyat," katanya.
Beliau berkata apabila perkara ini berlaku, pengguna pengangkutan awam pastinya akan menaiki kenderaan sendiri yang dilihat lebih menjimatkan berbanding menaiki pengangkutan awam.
Sekali gus, misi kerajaan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya khasnya di bandar-bandar besar tidak akan langsung tercapai, katanya.
Senada dengannya, Senator Khairiah Mohamed yang melihat kenaikan tersebut memusnahkan harapan rakyat yang saban hari mengharapkan kos berkenaan bertambah rendah apabila berdepan dengan kenaikan pelbagai kos lain.
"Pastinya yang menggunakan pengangkutan awam ini adalah golongan yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 dan golongan pelajar.
"Mengambil contoh tambang KTM dari UKM ke KL Sentral bagi satu perjalanan, ia meningkat sehingga RM120 sebulan bagi perbelanjaan pengangkutan awam ini, dan masyarakat di kawasan tersebut pastinya kecewa," katanya.
Beliau kemudian menyeru kerajaan mencari penyelesaian kepada kenaikan kos ini dengan mengurangkan harga barangan, menstabilkan kembali nilai ringgit dan mengkaji semula kenaikan tol yang turut membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
"Kita (rakyat) inginkan penyelesaian dan jalan keluar. Kita bukan hanya mahu perancangan dan pembangunan sana sini, tetapi merealisasikan harapan rakyat untuk kehidupan lebih senang," katanya.
Dilapor, ERL mengumumkan kenaikan tambang sebanyak RM20 bagi tiket sehala KL Sentral ke KLIA/klia2 berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.
Sebelum itu mulai 2 Dis tambang Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorail dinaikkan mengikut jarak perjalanan manakala KTMB dinaikkan dari 11 sen per kilometer hingga 15 sen per kilometer mulai tarikh yang sama.
Terbaru semalam, KTMB turut mengumumkan dalam laman Twitternya harga tiket komuter bagi kanak-kanak 7 tahun ke atas adalah sama dengan harga tiket dewasa.
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.
#bahas #Dewan Negara #ERL #pengangkutan #Rang Undang-Undang #tambang
;