Kenaikan SSHP bantu pesawah imbangi kos pengeluaran padi
Bernama
Ogos 8, 2023 04:21 MYT
Ogos 8, 2023 04:21 MYT
PARIT BUNTAR: Pengumuman kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan mulai hari ini disifatkan satu rahmat buat golongan pesawah yang terbeban dengan kos pengeluaran padi yang semakin meningkat mutakhir ini.
Kadar yang tidak ditambah baik sejak sekian lama itu menurut mereka membantu meningkatkan pendapatan setiap kali musim tuaian padi, sekali gus membantu menyerap kos pengeluaran padi.
Bagi pesawah dari Tanjung Piandang, Mustafa Kamal Mohd Said, 53, kenaikan kadar skim itu menambah pendapatan kasarnya sehingga kira-kira RM5,000 bagi setiap musim tuaian.
"Setiap kali menuai saya akan keluarkan kira-kira 30 tan padi, jika sebelum ini dengan kadar RM360 saya boleh dapat RM10,800 kasar, dengan kenaikan ini saya boleh tambah pendapatan sehingga RM15,000 setiap musim tuaian," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Program Sentuhan Agro Madani Negeri Perak di sini pada Selasa.
Pada program itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan SSHP berkenaan yang merupakan kenaikan terbesar dalam sejarah negara.
Anwar berkata dengan kenaikan itu, pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan yang akan meningkatkan pendapatan pesawah negara ini.
Pesawah dari Bagan Tiang, Ishak Othman, 72, menzahirkan penghargaan terhadap usaha penambahbaikan skim berkenaan yang membantu meningkatkan pendapatan pesawah kecil sepertinya.
"Bagi petani kecil seperti saya yang hanya hasilkan tujuh hingga lapan tan padi setiap kali musim tuaian, ia banyak membantu saya, dapat juga kira-kira RM4,500 bersih setiap kali saya tuai," katanya.
Seorang lagi pesawah dari Bagan Tiang, Mahayudin Mansor, 40, berkata kenaikan SSHP itu membuktikan keprihatinan Perdana Menteri terhadap keperluan pesawah.
"Sudah lebih 10 tahun saya mengusahakan sawah seluas tujuh hektar dan dibelenggu dengan kenaikan kos jentera dan input-input pertanian. Dahulu saya boleh dapat hasil enam tan bagi satu hektar sawah tetapi disebabkan tanah jerlus, saya hanya dapat hasil sekitar satu tan sahaja," katanya.
Ahmad Saad, 68, pula menyifatkan Perdana Menteri seorang yang pantas bertindak dalam membantu mengatasi masalah dihadapi pesawah.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sanggup turun padang dan mendengar rintihan rakyat dan laju buat kerja, memang seronok apabila SSHP dinaikkan kerana hasil sawah di Kuala Kurau agak merosot tahun ini," katanya.
-- BERNAMA