Kenaikan premium insurans, kewujudan Titah Adendum antara tumpuan di Parlimen hari ini
Astro Awani
Disember 9, 2024 07:45 MYT
Disember 9, 2024 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Isu kenaikan premium insurans dan kewujudan Titah Adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 menjadi tumpuan di Parlimen hari ini.
Isu-isu ini dijangka dibangkitkan dalam sesi soal jawab lisan Perdana Menteri (PMQ).
Pada sesi itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus.
Beliau turut meminta penjelasan berhubung kenaikan inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6 peratus tahun 2023, lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus.
Turut dibangkitkan dalam sesi soal jawab PMQ adalah berhubung Titah Adendum.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta Perdana Menteri menyatakan apakah penjelasan kerajaan berkenaan kewujudan Titah Adendum yang berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 pada 29 Januari 2024 yang melibatkan permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Selain itu, isu pindaan Akta Perubatan juga dikemukakan pada sesi soal jawab lisan menteri.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Menteri Kesihatan memberi penjelasan mengenai pindaan ke atas Akta Perubatan yang mensahihkan pegawai perubatan yang mengikuti kursus dan telah lulus program 'parallel pathway' (PPP) untuk pembedahan kardiotorasik, pembedahan plastik dan perubatan keluarga.
Sementara itu, Ahli Parlimen Radzi Jidin meminta Menteri Ekonomi menyatakan bilakah subsidi bersasar bagi petrol akan dilaksanakan dan menjelaskan apakah pendekatan yang akan diambil kementerian bagi memastikan golongan yang terkesan menerima bantuan sewajarnya.
Sidang Dewan Rakyat hari ini akan turut menyambung perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 2024.
Mesyuarat ketiga, penggal ketiga Parlimen ke-15 (2024) berlangsung dari 14 Oktober hingga 12 Disember ini.