Kenaikan mendadak, 959 kes HFMD direkodkan di Pulau Pinang sejak Januari - Dr Norlela
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 11, 2022 14:06 MYT
Mei 11, 2022 14:06 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang merekodkan sebanyak 959 kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu sejak Januari sehingga kini berbanding tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin berkata, berlaku peningkatan mendadak berbanding hanya 219 kes dilaporkan pada Januari hingga Disember tahun lepas.
“Sehingga minggu epid 18, sebanyak 959 kes dilaporkan,ada peningkatan jumlah kes berbanding tahun lepas, dimana hanya 219 kes dilaporkan pada Januari hingga Disember lepas,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memaklumkan kes jangkitan HFMD di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda sehingga ME 17/2022, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu, berbanding 1,752 kes bagi ME 17/2021.