Kenaikan kos ibadah umrah dijangka bersifat sementara - PAPUH
Eton Khir
Oktober 18, 2021 20:04 MYT
Oktober 18, 2021 20:04 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan kos menunaikan ibadah umrah lebih RM2,000 dengan harga lantai baharu berjumlah RM6,900 bagi setiap jemaah ketika ini adalah berdasarkan kepada banyak faktor dan kadar ini dijangka hanya bersifat sementara.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata kenaikan tersebut adalah berdasarkan situasi semasa, khususnya ketika mendepani pandemik.
"Salah satunya, adalah kerana harga visa meningkat lebih kurang 100 peratus daripada RM300 kepada RM600. Selain itu, ia melibatkan soal penginapan. Contohnya, jika dahulu, duduk berempat atau berlima, sekarang berdua, yang mana penambahan RM1,000 lebih seorang.
"Tidak dilupakan juga soal tambang penerbangan adalah salah satu daripadanya, iaitu jika dahulu RM2,000 ke RM7,000. Namun kini, RM3,000 lebih. Ini juga termasuk pengangkutan, insurans dan sebagainya dan semuanya meningkat. Paling kurang (penambahan) RM2,000 harga lantai," katanya kepada Astro AWANI, pada Isnin.
Di samping itu, Razali berkata, harga lantai akan disemak semula apabila wabak COVID-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan kembali normal.
"Ya, betul kadar yang ada ini hanya bersifat sementara semasa pandemik dan untuk harga lantai ini perbincangan dibuat bersama persatuan-persatuan dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya). Jadi kita kena buktikan kepada MOTAC harga ini adalah harga yang sepatutnya bagi harga lantai.
"Lebih tidak mengapa, jangan kurang. Ini kerana dikhuatiri sekiranya harga yang diberi RM5,000 ke RM6,000 itu adalah harga yang berbeza. Kerana itu, MOTAC telah mengambil inisiatif berjumpa dengan persatuan-persatuan pelancongan yang membuat umrah untuk membincangkan harga lantai," katanya lagi.
Sementara itu, Razali menasihati mereka yang mahu menunaikan umrah supaya mengambil langkah berhati-hati jika didapati harga pakej yang ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang telah ditetapkan.
Tegasnya, orang ramai juga perlu memastikan tawaran itu daripada agensi yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) bagi mengelak kes-kes penipuan.
Sebelum ini, MOTAC mengumumkan harga lantai baharu bagi mengerjakan ibadah umrah untuk tempoh 12 hari 10 malam iadalah sebanyak RM6,900.
Kenaikan itu susulan pelaksanaan SOP baharu, sama ada di pihak Arab Saudi atau kerajaan Malaysia.