Kenaikan kos bahan mentah bukan alasan peniaga naikkan harga lemang
Adie Sufian Zulkefli
April 20, 2023 07:30 MYT
April 20, 2023 07:30 MYT
KEPALA BATAS: Tidak lengkap sambutan Aidilfitri tanpa hidangan lemang.
Malah menu popular zaman berzaman yang dibuat menggunakan buluh itu tetap menjadi pilihan segenap usia sehingga ke hari ini.
Sebelum ini kos membuat lemang rendah sedikit, namun, pada tahun ini harga barang mentah seperti beras pulut, santan dan buluh meningkat hampir sekali ganda.
Namun begitu, seorang peniaga lemang di sini, mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga jualan lemang, sebaliknya, mengekalkannya pada harga pada harga RM12 hingga RM16 mengikut saiz.
Menurut Zaim Abdullah, 33, tahun ini dia bersama tiga orang pekerjanya telah memasak lebih 1,000 batang lemang dalam tempoh dua hari bagi persediaan permintaan menjelang Aidilfitri yang akan disambut pada Sabtu (esok).
Apa yang mengejutkan Zaim ialah, tempahan lemang untuk lebaran kali ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu apabila dijangkakan ramai perantau pulang beraya di kampung.
“Walaupun hari ini rata-rata kita merasakan ada sedikit kenaikan harga barang tetapi lemang yang kita pasarkan kita cuba kekalkan dengan harga seperti tahun sebelumnya lah bermula dengan harga RM12 sebatang sehingga ke RM16 sebatang.
“Begitu juga dengan aneka menu lain yang kita sediakan seperti lemang pulut biasa, lemang jagung lemang pulut hitam… (harga) kadar dari RM12 sehingga ke RM16 mengikut saiz ukur lilit buluh,” katanya
Sementara itu, bagi pembeli, Azizi Azizan, 34, yang juga pelanggan tetap lemang jualan Zaim sejak lima tahun lalu bersyukur dan kagum dengan peniaga lemang di sini kerana turut sama merasai kesusahan rakyat ketika ini.
Katanya, setiap tahun dia akan menempah lebih 100 batang lemang untuk dimakan bersama keluarga di pagi Syawal selain untuk jamuan rumah terbukanya.
“Kalau yang tidak berapa kemampuan akan terasa bila harga (lemang) naik. Bagi saya dengan kualiti yang saya dapat, harga (yang dibayar) sangat berbaloi.
“Lagi pun dia (Zaim) jual lemang ini tidak naik harga memang (sasaran pembeli) untuk golongan sederhana… memang boleh beli dengan harga yang ditawarkan,” kata Azizi.
Bagi Shahbani Mahmud, 50, yang juga pesara tentera pula, setiap tahun dia akan membuat tempahan seawal Ramadan kerana bimbang akan terlepas.
Katanya, anak cucu yang pulang sangat menggemari keenakan lemang ini kerana teksturnya yang lembut dan aromanya yang wangi selain lazat jika dimakan bersama rendang dan serunding.
Malah menurutnya, kualiti lemang juga dikekalkan iaitu beras pulut, santan dan rasanya tetap sama walaupun kos pembuatannya meningkat saban tahun.