Kenaikan kadar tol di 3 lagi lebuh raya ditangguhkan tahun ini - Fadillah

Astro Awani
April 30, 2021 11:11 MYT
Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol bagi tahun ini bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021. -Foto PLUS Malaysia Berhad
KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol bagi tahun ini bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, penangguhan itu melibatkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari 2021 iaitu Lebuh raya Shah Alam (KESAS), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
"Prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan wabak COVID-19, kerajaan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu, 28 April 2021, telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol tahun 2021, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021.
"Selain itu terdapat lebuh raya dan plaza tol yang diteruskan penangguhan kenaikan kadar tol yang telah diberi penangguhan sebelum ini iaitu melibatkan 21 lebuh raya dan 1 plaza tol (ditangguhkan semua kelas kenderaan) antaranya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE).
"Tambahan itu, ia termasuk Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX), satu lebuh raya dan dua plaza tol (ditangguhkan kenderaan Kelas 1 dan kelas 5 sahaja), satu lebuh raya dan tiga plaza tol (ditangguhkan kenderaan kelas 5 sahaja) dan satu lebuh raya (ditangguhkan kenderaan kelas 2,3,4 dan 5 sahaja).
"Susulan penangguhan berkenaan anggaran pampasan yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM2.25 bilion dan perundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol secara bersama dengan syarikat konsesi masih lagi berjalan, dengan Kabinet telah bersetuju untuk ianya dimuktamadkan sebelum 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya lagi, anggaran pampasan ini adalah berdasarkan formula pengiraan pampasan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.
#kenaikan kadar tol #ditangguh tahun ini #Fadillah Yusof #lebuh raya #PLUS #DUKE #mex #LDP #Lembaga Lebuhraya Malaysia
;