Kenaikan kadar tambang harus seiring kepuasan pengguna - Pengarah MITRANS

Astro Awani
Mac 19, 2015 23:50 MYT
Saadiah menyarankan agar disediakan saluran tertentu untuk pengguna mempraktikkan hak dan menyampaikan maklum balas. - Gambar fail
Pengausaha dan pengendali pengangkutan awam seperti bas dan teksi perlu mengambil berat usaha penambahbaikan beberapa aspek seperti keselamatan, keselesaan dan kecekapan perkhidmatan, kata Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Prof Dr Saadiah Yahya.
Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara secara langsung menerusi buletin AWANI 7.45 pada Khamis, bagi mengulas mengenai reaksi orang ramai terhadap peningkatan kos tambang pengangkutan awam.
“Soal kenaikan kos pengangkutan awam ini diumumkan terlalu dekat dengan pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Namun setelah diumumkan oleh pihak SPAD, nampaknya kita terpaksa terima dalam keadaan kepayahan dan rungutan,” ujar beliau.
Saadiah memberitahu, melalui kajian-kajian yang dijalankan oleh pihak MITRANS, aspek keselamatan adalah faktor yang paling diberi perhatian oleh pengguna perkhidmatan pengangkutan awam.
“Seandainya hendak naikkan kadar tambang, kita perlu lihat dari perspektif kepuasan pelanggan. Rata-rata daripada mereka mahukan aspek keselamatan dipertingkatkan,” ujar Saadiah.
Beliau turut menyentuh mengenai keselamatan cara pemanduan, keadaan mekanikal kenderaan yang harus berada pada tahap terbaik selain perlu dikendalikan oleh pemandu yang mempunyai reputasi baik.
“Kemudian bagi perkhidmatan teksi pula, mereka harus menggunakan meter dan tidak memilih kawasan dan masa apabila memberi perkhidmatan kepada pengguna,” ujar Saadiah yang turut menyentuh aspek keselesaan, kemudahan, kebersihan, integrasi dan imej keseluruhan infrastruktur pengangkutan awam.
Dalam pada itu, Saadiah juga menyarankan agar disediakan saluran tertentu untuk pengguna mempraktikkan hak dan menyampaikan maklum balas, sementara pihak SPAD harus melakukan pemantauan berterusan dan berkala ke atas pengusaha dan pengendali perkhidmatan teksi dan bas.
“Perkara yang perlu dibuat pihak SPAD setelah kenaikan kadar tambang baharu ini adalah suatu kajian menyeluruh atas kepuasan pelanggan. Adakah kenaikan kos itu seiring atau dapat berjumpa pada satu titik kepuasan pelanggan?” kata Saadiah.
Tambah beliau, kajian juga harus dijalankan ke atas pengusaha dan pengendali perkhidmatan teksi dan bas dari skala ekonomi.
“Adakah benar dengan peningkatan yang dimahukan itu boleh menampung kos operasi, penyelenggaraan dan sara hidup mereka?” kata Saadiah.
#MITRANS #pengangkutan awam #pengguna #perkhidmatan #saadiah yahya #tambang