Kenaikan harga pasir dorong harga rumah naik di Kelantan
Muhafandi Muhamad
Januari 17, 2017 17:07 MYT
Januari 17, 2017 17:07 MYT
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan melahirkan kebimbangan dengan kenaikan harga pasir di negeri ini yang mendorong kepada peningkatan harga rumah.
Walaupun pihak kerajaan negeri menafikan kenaikan harga pasir berlaku namun kebimbangan ini disuarakan kerana sudah ada pembekal pasir menjual bahan tersebut dengan harga sekali ganda.
Menurut Pengerusi REHDA Kelantan, Mohd Shukri Omar, beberapa pemaju perumahan memaklumkan pasir yang dijual kini meningkat kepada 100 kali ganda dengan harga RM260 bagi setiap 10 tan berbanding sebelum ini sekitar RM130 bagi 10 tan.
Walaupun harga pasir belum ditetapkan oleh kerajaan negeri namun, tindakan kerajaan negeri melantik beberapa syarikat untuk diberikan konsesi pasir di Kelantan menimbulkan kebimbangan pemaju perumahan terhadap kenaikan harga bahan tersebut.
“Sebagai pemaju perumahan berlesen kami melihat sebarang kenaikan harga pasir sudah pasti memberi kesan kepada industri dan kos pembinan peruimahan dan juga kompenen asas dalam 65 peratus dari keseluruhan bahan-bahan binaan seperti kerja-kerja menambun kerja struktur.
“Kenaikann kos ini REHDA Kelantan bimbang harga rumah akan meningkat menyamai harga rumah di pantai barat dan ini akan menjejaskan kuasa beli rakyat Kelantan,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan, jika benar berlaku peningkatan harga pasir maka harga rumah dijangka akan meningkat antara 20 sehingga 30 peratus.
“Pada masa ini sejumlah 5,012 unit rumah sedang dibina di Kelantan oleh pemaju yang berdaftar dengan REHDA melibatkan nilai lebih RM2.1 bilion ringgit.
“Jika berlaku kenaikan harga pasir sudah pasti harga rumah meningkat pada masa akan datang manakala bagi rumah yang sedang di bina oleh pemaju yang telah disetuju terima harga oleh pembeli, kerugian bakal ditanggung oleh pemaju.
“Untuk itu, REHDA merayu kerajaan negeri memandang serius kenaikan harga pasir yang dibekalkan oleh pembekal di Kelantan bagi memastikan industri pembinaan tidak terjejas dan pembeli rumah tidak terbeban,” jelasnya.
Dua hari lalu, kerajaan Pas Kelantan menafikan harga pasir yang diusahakan 77 pengusaha di negeri itu dinaikan sekali ganda.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, perkara tersebut tersebar menerusi laman sosial yang mendakwa dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 atau RM250.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan keputusan untuk menaikkan kadar tersebut, bahkan terus kekal pada harga RM1.80 bagi satu tan.
Katanya, kerajaan negeri sedang berusaha mengurangkan penyelewengan dalam operasi pengeluaran pasir.
Sebanyak enam syarikat mengambil tender untuk dipilih sebagai syarikat konsesi pengusaha pasir di Kota Bharu, Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai.