Kenaikan harga minyak tidak jejas harga barang pasar tani - Ismail Sabri

Bernama
Mac 1, 2015 14:06 MYT
Orang ramai tidak perlu bimbang kerana program melibatkan minimum 73 barangan akan tetap diteruskan dengan penurunan sehingga 20 peratus. -Gambar fail
Kenaikan harga minyak tidak akan menjejaskan program turun harga barangan di pasar tani seluruh negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana kementeriannya akan tetap meneruskan program yang melibatkan minimum 73 barangan dengan penurunan harga minimum sebanyak lima hingga 20 peratus.
"Harga ini lebih murah berbanding di pasar lain, itu akan kita kekalkan. Jadi para peniaga kena konsisten. Bila harga minyak turun tempoh hari, peniaga kata itu tidak memberi sumbangan yang besar kepada kenaikan atau penurunan harga.
"Jadi, sekarang ini harga minyak naik, jangan jadikan alasan harga minyak pula untuk menaikkan harga barang," katanya pada sidang media selepas menghadiri program pemimpin bersama pemasar di Pasar Tani Paroi Jaya di sini hari ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam mengumumkan harga petrol dan diesel naik 25 sen seliter mulai tengah malam tadi menjadikan harga runcit baharu bagi petrol RON95 kepada RM1.95 seliter, RON97 RM2.25 seliter dan diesel RM1.95 seliter.
Ismail Sabri berkata pengguna boleh membuat aduan dengan pegawai urus setia di setiap pasar tani sekiranya mendapati harga barang di pasar berkenaan tidak mengikut seperti yang ditetapkan.
"Peniaga pasar tani yang tidak patuh dengan arahan boleh dikeluarkan dan kami tidak berkompromi dalam perkara ini.
"Setakat ini, semuanya berjalan baik dan peniaga pasar tani mematuhi arahan yang dikeluarkan," katanya.
#harga barang #harga minyak #Ismail Sabri #KPDNKK #pasar tani
;