Kenaikan harga minyak sawit: Kerajaan perlu semak dasar termasuk subsidi- Penganalisis ekonomi

Rahimah Abdullah
April 24, 2022 16:30 MYT
Kerajaan perlu meneliti atau membuat semakan kepada dasar-dasar sedia ada susulan jangkaan kenaikan harga sawit global yang memberi kesan kepada harga minyak masak dalam negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu meneliti atau membuat semakan kepada dasar-dasar sedia ada susulan jangkaan kenaikan harga sawit global yang memberi kesan kepada harga minyak masak dalam negara.
Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata, ia termasuk penelitian semula subsidi minyak masak.
Mohd Yusof berkata, tindakan Indonesia mengeluarkan arahan sekatan ke atas eksport minyak kelapa sawit secara tidak langsung mengurangkan bekalan minyak sawit dunia.
Perkara itu dijangka memberi keuntungan kepada pengeluar minyak sawit tempatan terutama kepada peneroka dan pemilik ladang.
"Dalam masa terdekat, kalau kita tidak tangani dengan baik, peningkatan harga minyak masak dalam negara akan berlaku dan jika ia berlaku kerajaan perlu lihat atau buat semakan semula ke atas dasar-dasar yang sedia ada terutama yang secara langsungnya kepada subsidi minyak masak terutama untuk mereka yang berpendapatan rendah ini," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Bagaimanapun, kenaikan harga pasaran sawit global dibimbangi tidak mampu diseimbangkan dengan pengeluaran di Malaysia.
Ia berikutan isu kekurangan buruh di ladang kelapa sawit perlu ditangani dengan baik jika Malaysia benar-benar mahu mendapatkan manfaat daripada kesan kenaikan minyak sawit global.
"Saya bimbang kenaikan harga minyak sawit di pasaran global tidak dapat diimbangi dengan pengeluaran di Malaysia.
"Isu kekurangan buruh di ladang kelapa sawit akan membantutkan pengeluaran dalaman dan seterusnya ini akan memberikan kesan yang lain pula.
Sebelum ini, Indonesia mengeluarkan arahan sekatan ke atas eksport minyak kelapa sawit susulan kenaikan harga inflasi makanan di peringkat global.
Tindakan republik itu adalah bagi memastikan bekalan minyak masak cukup dalam Indonesia.
BACA : Langkah Indonesia beri impak kepada keseimbangan permintaan dan penawaran minyak, lemak dunia
#harga minyak #kelapa sawit #Mohd Yusof Saari #Penganalisis ekonomi
;