Kenaikan harga besi bebankan pemaju, kontraktor
Astro Awani
Januari 20, 2021 12:27 MYT
Januari 20, 2021 12:27 MYT
KUALA LUMPUR : Kenaikan harga bahan asas dalam industri binaan terutamanya harga besi menambah tekanan kepada kontraktor yang sebelum ini terjejas teruk akibat COVID-19.
Harga besi yang naik sehingga 30 ke 40 peratus menyebabkan projek sedia ada terjejas dan pemaju tidak mampu untuk menanggung kerugian besar disebabkan kenaikan tersebut.
Pengerusi Guild of Bumiputra Contractors Berhad (WIBAWA), Datuk Ir Md Nasir Ibrahim berkata, buat masa ini mereka terpaksa menghentikan pembelian sehingga keadaan kembali normal dan harga tidak lagi membebankan.
“Hal demikian bakal menimbulkan lambakan projek terbengkalai dan projek sakit kerana harga tawaran tender tidak lagi relevan dengan harga binaan semasa.
“Secara realistik, kenaikan harga bahan binaan yang mendadak tidak harus terjadi secara mengejut kerana kos serta margin syarikat pembuatan tidak begitu terjejas.
“Ini kerana permintaan yang tinggi daripada sektor dan industri lain yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kesan kenaikan harga bahan asas itu menyebabkan kontraktor dan pemaju secara terbuka menyatakan ingin mengkaji semula harga rumah, perkhidmatan dan produk mereka.
“Ia sekali gus menimbulkan persepsi tidak baik dalam pasaran hartanah.
“WIBAWA telah menghantar surat kepada beberapa kementerian dan agensi supaya dapat memantau situasi kenaikan mendadak harga bahan besi berkenaan.
“Selain itu kami juga menyokong usaha dan cadangan daripada persatuan kontraktor lain berkenaan isu ini dan berharap pihak yang berwajib dapat memperhalusinya.
“Ia bagi memastikan daya maju kontraktor dan pemaju khususnya bumiputera tidak terjejas ketika tempoh PKP dan penularan COVID-19 di dalam negara,” ujarnya.
#Kontraktor
#harga barang
#industri binaan
#Harga naik
#besi
#pemaju
#Bumiputera
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19
#wibawa
#projek
#terbengkalai