Kenaikan harga barangan bukan penghalang peniaga asam pedas tawarkan Menu Rahmah
Bernama
Februari 6, 2023 04:20 MYT
Februari 6, 2023 04:20 MYT
MELAKA: Walaupun pada mulanya tercabar dan berasa tidak relevan untuk menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 ekoran kenaikan pelbagai barangan dan bahan mentah, namun ia bukan penghalang buat pengusaha Restoran Asam Pedas Selera Kampung di sini, untuk menyahut seruan kerajaan.
Saharudin Mohd Nor, 56, yang sudah 32 tahun berkecimpung dalam industri makanan berkata beliau berupaya menawarkan Menu Rahmah dengan kerjasama pembekal bahan mentah yang beliau sering berurusan.
"Pada asasnya kita tercabar juga...mana boleh dapat harga set asam pedas sepinggan dengan air RM5?, tetapi setelah berbincang dengan rantaian pembekal bahan mentah menerusi kumpulan WhatsApp, sebenarnya ia boleh dilakukan.
"Tapi ia tidak melibatkan keuntungan yang besar atau kerugian sebaliknya penyertaan Restoran Asam Pedas Selera Kampung di bawah program Menu Rahmah adalah sebahagian sumbangan kebajikan kepada pelanggan," katanya kepada pemberita selepas Sesi Pengenalan Program Menu Rahmah di sini semalam.
Sesi pengenalan itu turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar.
Saharudin berkata tawaran Menu Rahmah berkenaan melibatkan menu set asam pedas ayam, tetel atau ikan berserta nasi putih, telur masin, sayur dan air mineral pada harga RM5 sepinggan.
Beliau berkata walaupun harga yang ditawarkan sangat rendah, namun kualiti makanan tetap diutamakan agar pelanggan dapat menikmati keenakan masakan seperti sebelum ini.
Katanya sebagai contoh, bagi menu asam pedas ikan, beliau masih menggunakan ikan kembung tetapi saiznya sedikit kecil berbanding kebiasaannya.
"Kita tidak tahu lagi bagaimana sambutan Menu Rahmah (selepas ini) dan jika hebat, mungkin kita akan tambah...buat permulaan kita tawarkan kepada 100 pelanggan dahulu," katanya.
Beliau berkata Menu Rahmah itu ditawarkan pada setiap Isnin dan Khamis dan tiada had pembelian dikenakan dan berharap usaha itu dapat membantu dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40.
-- BERNAMA