Kenaikan harga barang asas: 'Kerajaan ketika ini, kerajaan tidur' - Anwar
Fareez Azman
April 20, 2021 14:37 MYT
April 20, 2021 14:37 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini sebagai gagal apabila isu kenaikan harga barangan asas tidak dapat diatasi sekali gus membebankan rakyat.
Jelasnya, tindakan secara serius seolah-olah tidak diambil pihak kementerian yang bertanggungjawab meskipun perkara itu amat membimbangkan.
"Harga barang ini, masa saudara Datuk Seri Saifuddin Nasution, ada taskforce untuk selesaikan. Tak boleh beban macam ni.
"Orang susah, pengangguran tinggi, kadar kemiskinan bertambah, harga barang meningkat (tetapi) senyap sunyi dari segi kementerian dan kerajaan. Ini sangat mendukacitakan dan dikesalkan," katanya ketika ditemui dalam Program Ihya Ramadhan Bersama Pihak Masjid dan Surau Parlimen Port Dickson pada Selasa.
Mengulas lanjut ujar Ahli Parlimen Port Dickson itu, isu kenaikan harga barangan asas sentiasa ditangani ketika beliau pernah menjawat jawatan dalam kerajaan ketika dahulu.
Namun kini, kementerian yang berwajib dilihat gagal menyelesaikan isu dibangkitkan rakyat terutama ketika Ramadan dan menjelang Syawal.
"Harga barang ini serius, saya tak tau macam mana. Saya pun dah lama jadi menteri. Masa saya menteri dulu riuh kita panggil mesyuarat lantik jawatankuasa untuk selesaikan ini.
"Kita bawa penguat kuasa, tengok pembekal dan banyak lagi. Sekarang seolah-olah tiada tindakan. Kerajaan ini kerajaan yang tidur, gagal menjalankan tugas," jelasnya lagi.
#Anwar Ibrahim
#Ramadan
#Parlimen
#kerajaan
#pembangkang
#rakyat
#Kerajaan Perikatan Nasional
#PN
#kenaikan harga barang
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
#Ketua Pembangkang