Kenaikan harga baja dan racun: K'jaan bantu kurangkan beban pesawah, petani - PM

Bernama
November 20, 2021 12:53 MYT
Ismail Sabri hadir pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Sekinchan, hari ini. - Foto Twitter ZahimiHassan
SEKINCHAN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan amat memahami isu yang dihadapi para pesawah dan petani seluruh negara yang disebabkan oleh kenaikan harga baja dan racun.
Justeru, beliau berkata Kementerian Kewangan telah diarahkan untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan harga dapat dikurangkan selain menyediakan bantuan tertentu bagi mengurangkan beban petani terutamanya pesawah.
"Kita berbincang perkara ini dalam Kabinet dan kita faham harga racun tinggi, harga padi tinggi, kos akan meningkat dan akan kurangkan dari segi pendapatan bersih para petani terutama pesawah-pesawah.
"Percayalah masalah rakyat, masalah pesawah adalah masalah kerajaan juga dan kita tidak akan biarkan bebanan tersebut ditanggung sendirian oleh pesawah dan petani seluruh negara, insya-Allah kita akan bantu," katanya pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di sini, hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan peningkatan harga baja dan racun adalah disebabkan barangan itu diimport dari luar negara.
Walaupun terdapat syarikat dalam negara termasuk koperasi dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengeluarkan baja serta racun, namun beliau berkata bahan mentah barangan itu juga diimport dari luar.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan produktiviti industri padi dan beras dilakukan secara proaktif, termasuk memperkenalkan teknologi terkini bagi mendepani cabaran serta memperkasakan lagi keupayaan.
“Namun, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan, pesawah dan petani semata-mata tetapi memerlukan usaha bersama sebagaimana sering saya tekankan iaitu keterangkuman dan kebersamaan yang merupakan antara teras utama konsep Keluarga Malaysia,” katanya.
Bagi tujuan itu, beliau menyeru lebih ramai penyelidik tempatan pelbagai bidang kepakaran turut sama mengetengahkan penyelidikan dan pembangunan (RD) serta menggembleng tenaga membangunkan inovasi agromakanan ke arah memacu Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, sekali gus meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.
Katanya, kerajaan juga sentiasa bersiap siaga mendepani cabaran dunia dan tampil dengan pelbagai inisiatif berpaksikan rakyat, termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu pelan pembangunan menyeluruh untuk manfaat Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.
Ismail Sabri berkata sasaran utama kerajaan adalah ke arah negara berteknologi tinggi serta berpendapatan tinggi dengan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) dikenal pasti sebagai satu daripada teras utama RMK12.
Bagi tujuan itu, beliau berkata peranan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) amat penting dalam merangka strategi RDCI melalui pembangunan dan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan Keluarga Malaysia.
Mengulas mengenai majlis hari ini, Ismail Sabri berkata baka padi baharu IS21 adalah projek teknologi berimpak tinggi MOSTI yang diusahakan Agensi Nuklear Malaysia dengan benih padi itu mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca tidak menentu dan rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering menyerang dan merugikan pesawah.
Selain itu, baka padi IS21 juga berpotensi memberikan hasil tuai yang tinggi dan dapat meningkatkan pendapatan pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan kerajaan, selain IS21 mampu mengeluarkan hasil padi sehingga sembilan tan sehektar mengikut kawasan penanaman.
“Kos penanaman dapat dikurangkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kerana penggunaan baja dan racun perosak yang kurang. Hasil tuaian juga boleh meningkat sebanyak 40 sehingga 67 peratus, bergantung kepada kawasan tanaman dan amalan kultura petani,” katanya.
Ismail Sabri berkata inisiatif MOSTI menghasilkan varieti padi baharu IS21 adalah antara usaha meningkatkan sekuriti makanan negara dan ia selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri padi negara, seterusnya mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa hadapan.
Menurutnya Agensi Nuklear Malaysia yang menghasilkan benih padi IS21 telah menerima pengiktirafan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) sempena Persidangan Agung kali ke-65 di Vienna, Austria pada Sept lepas bagi Anugerah Pencapaian dalam Bidang Biak Baka Mutasi Tanaman.
Mendukung Aspirasi Keluarga Malaysia, beliau berkata Bajet 2022 memperuntukkan RM1.53 bilion bagi meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kira-kira 300,000 pesawah di seluruh negara, dengan mengurangkan kos mereka sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran padi.
Ismail Sabri berkata kerajaan juga sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur, bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.
Pendekatan itu dijangka mewujudkan persekitaran industri kawal selia kendiri seterusnya mengurangkan pembabitan serta pemantauan kerajaan di sepanjang rantaian pengeluaran padi, katanya.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.
-- BERNAMA
#baja #racun #pesawah #kenaikan harga
;