Kenaikan harga bahan binaan tidak jejas kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo - Fadillah

Shafik Ahmad
Jun 9, 2022 14:23 MYT
Fadillah (tiga dari kiri) meninjau perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej kontrak kerja (WPC04) di Temudok, Sri Aman. - Astro AWANI
SRI AMAN: Kenaikan harga bahan binaan tidak mempengaruhi kos keseluruhan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB), kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya harga siling projek itu kekal mengikut kos yang dipersetujui sebelum ini iaitu RM16.117 bilion.
“Kita tahu memang ada cabaran dari segi kenaikan harga barang seperti diesel, besi dan pengoperasian kuari pada kadar minimum.
“Walaupun ia tidak mempengaruhi kos projek secara keseluruhan tetapi ia sebenarnya memberi kesan kepada kontraktor,” katanya pada sidang media selepas meninjau perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej kontrak kerja (WPC04) di Temudok, Sri Aman pada Khamis.
Menurut Fadillah, pihaknya sedang mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah yang dilihat membebankan kontraktor.
“Saya boleh katakan berlaku kenaikan antara 15 ke 30 peratus dari segi kontraktor tetapi peringkat kita dari segi kontrak ia tiada perubahan.
“Ini disebabkan dalam kontrak perjanjian ia adalah berasaskan kontrak keseluruhan maknanya apa-apa kenaikan barang tidak akan menjejaskan harga siling yang telah ditetapkan.
“Kita sedar di peringkat kontraktor mereka akan menghadapi masalah, sebab itu kita sedang mempertimbangkan bagaimana hendak mengurangkan bebanan yang ditanggung kontraktor dengan kenaikan harga barang,” katanya.
Jelajah siri keempat itu berlangsung selama tiga hari bermula dari Kuching sehingga penghubung Sungai Tangap ke Pujut, Miri pada 11 Jun ini.
Menurut Fadillah status projek LPB Sarawak sejauh 768 kilometer itu telah siap sebanyak 83.04 peratus dengan satu daripada 11 pakej telah siap sepenuhnya.
Lebuhraya pertama Sarawak itu bakal menjadi nadi ekonomi kepada negeri tersebut apabila ia siap sepenuhnya kelak sekali gus meningkatkan akses perhubungan jalan darat yang lebih efisyen dan sistematik, memacu pembangunan kawasan baharu, merancakkan industri pembinaan, pelancongan dan pelbagai sektor lain.
#kos bahan binaan #Fadillah Yusof #jelajah Pan Borneo #harga siling
;