Kenaikan gaji penjawat awam tidak lagi pentingkan kelompok tertinggi seperti dahulu – PM Anwar

Firdaus Azil
Mei 1, 2024 21:20 MYT
Anwar juga menegaskan kepentingan untuk ketua-ketua jabatan melaksanakan penilaian dengan lebih adil, dan tidak terus bersikap pilih kasih. - Gambar PMO
PUTRAJAYA: Kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus, seperti yang diumumkan pada Hari Pekerja 2024, adalah berbeza dengan kenaikan yang pernah dilaksanakan dalam pentadbiran terdahulu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam Program Soal Jawab bersama Perdana Menteri di Putrajaya pada Rabu, beliau berkata, pendekatan lama yang digunapakai lebih memberi keutamaan kepada kelompok penjawatan gred tertinggi, berbanding pendekatan terkini yang lebih tertumpu kepada peringkat lebih rendah.
Kadar kenaikan yang mungkin mencecah sehingga 15 peratus itu jelasnya merupakan cara Kerajaan Madani menghargai golongan penjawat awam yang memberikan sumbangan dan dedikasi kepada usaha meningkatkan keupayaan negara dalam sudut ekonomi, sosial dan sebagainya.
“Kenaikan memang memerlukan keupayaan agak tinggi, saya katakan melebihi 13 peratus, mungkin mencecah hingga 15 peratus, paling tinggi sejarah. Walaupun pernah diperkenalkan dahulu 35 peratus, tetapi itu Gred 1 hingga 16, tapi secara keseluruhan ini masih tetap paling tinggi dengan kos yang sangat tinggi melebihi RM10 bilion.
“Kenaikan 15 peratus itu bukan elaun, tetapi gaji pokok. Keduanya, bagi golongan yang rendah, itu mungkin mencececah 25 sehingga 30 peratus. Itu berbeda dengan pendekatan yang lama, di mana kita berikan keutamaan kepada kelompok tertinggi, kita ubah.
“Jadi saya tumpu kenaikan bagi peringkat lebih rendah dan mengurangkan kenaikan bagi peringkat tertinggi,” katanya.
Sewaktu Perhimpunan Hari Pekerja di Putrajaya, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus, atau minimum RM2,000 bermula 1 Disember ini, dengan peruntukan melebih RM10 bilion.
Beliau berkata, biarpun ada kegusaran tentang hutang negara yang tinggi serta defisit membengkak, itu tidak harus dijadikan alasan atau kekangan untuk menghargai sumbangan golongan penjawat awam.
Anwar juga sekali lagi menegaskan kepentingan untuk ketua-ketua jabatan melaksanakan penilaian dengan lebih adil, dan tidak terus bersikap pilih kasih.
“Kenaikan ini harus selari dengan pemerkasaan dan pengurusan yang meliputi semua aspek, termasuk penilaian prestasi dan sebagainya. Memang ada kebimbangan, prestasi ada kelemahan, kecenderungan ketua jabatan untuk memilih. Jadi harus ada kaedah lebih telus.
“Tetapi kalau orang itu tidak hadir tiap bulan, empat sehingga lima hari tidak hadir dengan alasan remeh, patut tidak mendapat faedah dan ganjaran yang setimpal. Mungkin tak boleh sentuh gaji, tapi dari segi kenaikan pangkat dan elaun, ia tak harus berlaku secara automatis,” katanya lagi.
Dalam program yang dikendalikan empat hos iaitu Sayed Munawar Sayed Mustar (RTM), Azaria Tagaya (Media Prima), Dzulfitri Yusop (Astro AWANI), dan Pasha Rahim (Bernama TV), Perdana Menteri turut menyentuh mengenai soal inflasi hasil pelaksanaan langkah tersebut.
“Saya jangka ada (kenaikan inflasi), sebab itu kita teliti pelaksanaan dan pengawalan. Kalau boleh umpamanya pengeluaran hasil, produktiviti akan lebih melimpah ke pasaran dan pemantauan harus lebih kemas, sebab itu kenaikan berperingkat, iaitu pada Disember dan berikutnya.
“Jadi kalau ada naik (inflasi) pun dalam keadaan terkawal, inflasi di negara kita paling rendah di Asia. Jadi kita jangkakan kenaikan sedikit boleh diterima. Tapi kenaikan tinggi sudah pasti akan membebankan rakyat,” katanya.
Selain itu Perdana Menteri turut menolak tanggapan umum bahawa penjawat awam di negara ini terlalu ramai, sekali gus akan mengakibatkan beban kewangan yang tinggi kepada kerajaan.
“Ada teguran dan kritikan tentang jumlah (penjawat awam), tapi kalau tentera, dan polis harus ada dan perlu ditambah. Jenayah, pengawalan sempadan harus diatur kemas. Jumlah kemasukan pelancong yang meningkat sehingga 80 peratus, memerlukan penambahan jentera.
“Gololongan guru masih kurang dan harus tambah. Begitu juga doktor dan staf kesihatan, cuma yang mana kurang perlu, maka kita lihat perlu dikurangkan,” jelasnya.
#Inflasi #staf kesihatan #pelancong #penjawat awam
;