Kenaikan gaji minimum RM1,700 rangsang ekonomi negara, tingkat kuasa beli rakyat

Bernama
Februari 3, 2025 17:16 MYT
Kerajaan diseru memainkan peranan penting dalam memantau harga dan menyalurkan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat.- Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Peningkatan gaji minimum dijangka merangsang kuasa beli rakyat sekali gus menggerakkan ekonomi negara dan dapat memberi manfaat kepada semua pihak.
Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Novel Lyndon berkata langkah itu secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan membolehkan mereka mengurus perbelanjaan isi rumah secara lebih baik.
"Peningkatan gaji minimum juga dapat menarik minat golongan belia untuk bekerja sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta membantu menurunkan kadar pengangguran negara," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata langkah berkenaan juga dapat merancakkan ekonomi domestik yang seterusnya meningkatkan kutipan kerajaan melalui Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).
Pada masa sama, beliau berkata peningkatan pendapatan lazimnya disusuli dengan kenaikan harga barangan, berdasarkan prinsip ekonomi.
Justeru, Novel berkata kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memantau harga dan menyalurkan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat.
"Dalam sistem pasaran bebas, harga ditentukan oleh pasaran bukannya kerajaan. Kerajaan bertindak sebagai institusi kawal selia dan pemantauan, serta memberi subsidi mengikut keperluan," katanya.
Beliau berkata keputusan menaikkan gaji minimum RM1,700 adalah langkat positif namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa negara dan serantau bagi mengelakkan tekanan inflasi yang ketara terhadap rakyat.
Sebanyak 4.37 juta pekerja menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini, susulan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa 1 Feb lepas.
Sementara itu, Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Prof Dr Barjoyai Bardai berkata peningkatan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli rakyat.
Beliau berkata tambahan RM200 sebulan kepada setiap pekerja akan membawa peningkatan permintaan dalam pasaran domestik.
Namun, Barjoyai berpendapat kadar gaji minimum itu masih belum mencukupi bagi kebanyakan isi rumah khususnya di kawasan bandar yang kos sara hidup melebihi RM3,000 sebulan.
Selain itu, beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan dengan cabaran dalam menyesuaikan diri melalui pelaksanaan kadar gaji baharu memandangkan majikan dalam sektor berkenaan tidak mampu menanggung kos peningkatan gaji.
"Ramai pekerja dalam sektor pelancongan, khususnya di perniagaan mikro dan kecil sebelum ini menerima gaji kurang daripada RM1,500 sebulan. Dengan kenaikan ini, majikan perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi mereka bagi menampung kos tambahan," katanya.
Justeru, beliau mencadangkan perniagaan kecil untuk memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan daya saing dan memastikan keupayaan mereka membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja.
-- BERNAMA
#gaji minimum #rangsang ekonomi negara #tingkat kuasa beli rakyat #perbelanjaan isi rumah
;