Kenaikan gaji anggota polis berpangkat rendah tidak akan dibawa ke Parlimen

Hilmi Malik
Jun 25, 2019 16:59 MYT
Isu kenaikan gaji anggota polis berpangkat rendah, kata Muhyiddin, bukanlah perkara yang baharu sebaliknya telah disuarakan sejak dahulu lagi. Gambar Astro AWANI
Isu cadangan kenaikan gaji bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkat rendah tidak akan dibawa ke peringkat Parlimen.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu bukanlah perkara yang baharu sebaliknya telah disuarakan sejak dahulu lagi.
"Perkara ini telah dibawa dahulu dan ada perkara yang diputuskan dan ada yang tidak diputuskan.
"Di pihak kementerian ada pegawai yang bertanggungjawab meneliti dan tidak boleh diputuskan secara bersendiran kerana turut melibatkan agensi lain termasuk Kementerian Kewangan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya pada Selasa.
Menurut beliau, beliau menyokong penuh cadangan berkenaan namun terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti kerana ia turut melibatkan penjawatan lain dan bukan hanya pihak polis.
Antara lain termasuk mengambil keadaan situasi semasa berhubung masalah kewangan negara selain melibatkan penggandaan dan memerlukan sedikit masa.
Bagaimanapun, apa yang perlu diteliti dan dikaji ialah situasi semasa negara yang berhadapan dengan masalah kewangan dan sebagainya yang menuntut kesabaran.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memohon agar gaji anggota polis berpangkat rendah dinaikkan ekoran tangga gaji mereka yang agak rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutamanya mereka yang bertugas di bandar.
#gaji #Menteri Dalam Negeri #Muhyiddin Yassin #pangkat rendah #Parlimen #polis
;