Kenaikan gaji akan pacu sektor peruncitan, pelancongan
Bernama
Januari 20, 2025 16:03 MYT
Januari 20, 2025 16:03 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam serta upah minimum dilihat akan memberi impak positif kepada sektor runcit dan pelancongan, yang banyak bergantung kepada perbelanjaan pengguna.
Seorang pakar ekonomi menganggarkan kenaikan gaji kakitangan awam akan meningkatkan perbelanjaan mereka sebanyak 6.0 kepada 6.5 peratus tahun ini.
"Bagi kakitangan kerajaan dalam kumpulan berpendapatan rendah serta sederhana, tambahan pendapatan ini secara langsung akan melonjakkan kuasa beli mereka, membolehkan perbelanjaan yang lebih besar untuk barangan keperluan dan item budi bicara," kata Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan kepada Bernama.
Ini selanjutnya, akan menyokong aktiviti ekonomi dan perniagaan tempatan.
"Kesan pengganda positif yang dijana oleh peningkatan penggunaan akan merangsang pertumbuhan hasil untuk perniagaan, menggalakkan pelaburan seterusnya selain penciptaan pekerjaan yang mampu mengukuhkan ekonomi yang lebih luas," katanya lagi.
Mohd Sedek juga menekankan bahawa lonjakan permintaan boleh mendorong perniagaan untuk meningkatkan pengeluaran, melanjutkan waktu operasi atau mengambil pekerja tambahan.
"Dalam pasaran buruh yang dicirikan oleh persaingan termasuk halangan yang rendah kepada pemerolehan kemahiran, majikan mungkin menghadapi kesukaran bagi mengekalkan pekerja kerana mereka mungkin bertukar kerja untuk mendapatkan imbuhan yang lebih baik.
"Bagi menangani perkara ini, perniagaan mungkin akan menaikkan upah untuk mengekalkan tenaga kerja mereka , berpotensi mencetuskan kesan tidak langsung yang mendorong kenaikan gaji dalam sektor lain," katanya.
Tambahan pula, kenaikan gaji selalunya merupakan strategi yang lebih menjimatkan kos berbanding kepada pengambilan dan kos bayaran lebih masa yang akan berulang, justeru menjadikannya ianya pilihan yang lebih praktikal untuk membolehkan perniagaan mengekalkan kecekapan.
Untuk kakitangan awam pula, beliau mencadangkan kerajaan agar mempertimbangkan pelaksanaan jajaran berasaskan prestasi bagi kenaikan gaji dan bukannya peratusan tetap untuk memanfaatkan prinsip penghindaran kerugian, memotivasikan pekerja dalam mengekalkan atau meningkatkan produktiviti.
Ketua Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata masanya telah tiba untuk meningkatkan gaji sebenar memandangkan sejak 10 tahun lepas, Malaysia telah menyaksikan produktiviti yang bertambah baik.
"Ekonomi Malaysia sedang berkembang, purata keluaran dalam negara kasar dan tahap pertumbuhan pendapatan mencecah 5.0 peratus. Ini menguatkan pandangan bahawa gaji sebenar perlu diselaraskan naik apabila tenaga buruh mencapai produktiviti yang cemerlang," katanya.
Berdasarkan kepada satu laporan dari Brookings Institution, salah satu badan pemikir terkemuka di Amerika Syarikat, tahun lepas, produktiviti memainkan peranan penting dalam gaji sebenar.
Menurut kajiannya, pertumbuhan produktiviti sebanyak 2.0 peratus boleh menjana 4.0 setiap peningkatan sen dalam pertumbuhan gaji sebenar.
Shan juga percaya bahawa salah satu cara terbaik untuk mengawal inflasi ialah dengan meningkatkan produktiviti tenaga buruh.
"Langkah ini akan meluaskan asas pendapatan serta mengurangkan isu struktur dalam ekonomi. Peningkatan tahap pendapatan dan taraf hidup boleh menyokong usaha kerajaan bagi menjadikan pertumbuhan inklusif untuk semua segmen masyarakat dalam berkongsi kemakmuran pendapatan," katanya.
Mohd Sedek turut bersependapat dengan Shan, menekankan bahawa peningkatan produktiviti perlu diutamakan dalam memastikan pertumbuhan gaji sejajar dengan output, dengan itu meminimumkan tekanan inflasi.
Beliau juga menambah langkah dasar monetari, seperti sasaran inflasi oleh bank pusat, boleh membantu menstabilkan harga dan mengekalkan kuasa beli.
-- BERNAMA