Kenaikan gaji ADUN Selangor adalah wajar - Wan Saiful IDEAS
Haider Yutim
November 29, 2013 13:25 MYT
November 29, 2013 13:25 MYT
Pengarah Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata kenaikan gaji bagi Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor adalah wajar supaya ia setara dengan tanggunjawab mereka.
Katanya gaji yang mereka perolehi perlu sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul kerana kuasa dan dana mereka pegang amatlah besar.
“Kalau majikan yang menyelia pekerja lima, enam orang dah gaji RM7,000 ribu, takkan wakil rakyat yang di bawahnya ada 70,000 orang pengundi di satu kawasan dapat (gaji) lebih sedikit dari itu,” kata Wan Saiful ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurutnya, adalah tidak munasabah sekiranya gaji seorang ADUN lebih rendah dari gaji seorang pensyarah universiti sebaliknya gaji mereka terutama Menteri Besar perlulah ‘selesa’.
Selain itu, Wan Saiful juga berkata kenaikkan gaji tersebut mampu mengelakkan golongan-golongan ini terjebak dengan rasuah.
“Saya tidak nafikan wujudnya faktor ketamakan, meskipun ramai yang ikhlas untuk bantu rakyat.
“Tapi kadang-kala bil air, kenduri dan (wang) kematian pun diminta dari wakil rakyat... jadi mereka terpaksa cari jalan lain untuk dapatkan wang bagi membantu rakyat dan sebagainya,” katanya.
Wan Saiful dalam laman Twitternya semalam telah memuji tindakan yang dibuat oleh Selangor itu, sambil menyifatkannya sesuatu yang wajar dicontohi oleh Kerajaan Pusat dan negeri-negeri lain.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sarawak kerana menjadi negeri yang pertama menaikkan gaji Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, menteri, menteri muda dan ahli dewan undangan negerinya pada 21 Mei lalu.
Tambah Wan Saiful, IDEAS telah pun mengeluarkan kenyataan mengenai kewajaran menaikkan gaji wakil rakyat sejak tahun 2011 lagi.
Sementara itu, penulis blog, Stephen Doss menyangkal pendapat yang mengatakan kenaikan gaji boleh membendung rasuah.
Beliau dalam Twitternya berkata, rasuah berpunca dari sifat tamak yang sentiasa ingin memperoleh wang dengan cara 'mudah'.
Persidangan DUN Selangor pada telah Rabu meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 ADUN berkuatkuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.
Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 turut memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.
Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.
Tindakan tersebut bagaimanapun telah menimbulkan pelbagai reaksi termasuk dari Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Khalid supaya mengkaji semula kenaikan gaji tersebut kerana ia terlalu tinggi.
Perkara itu turut mengundang perbalahan di kalangan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Twitter.
Selain itu, ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali juga menggesa Khalid menangguhkan kenaikan gaji yang diumumkan pada Rabu.
Khalid bagaimanapun menolak cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden PKR itu sambil berkata semua ADUN di Selangor boleh memilih sama ada mahu menerima gaji baru atau menderma sebahagian atau keseluruhan wang gaji untuk tujuan amal.