Kenaikan barang sekolah: Kementerian beri peniaga amaran

Bernama
Disember 23, 2016 18:04 MYT
KPDNKK memberi amaran akan mengambil tindakan atas peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan keperluan sekolah. - Gambar fail
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberi amaran akan mengambil tindakan atas peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan keperluan sekolah.
Pengarah Penguatkuasanya Mohd Roslan Mahayuddin berkata kementerian telah memeriksa pasar raya dan kedai dan mendapati kenaikan harga barangan keperluan sekolah terutama pakaian sejak akhir tahun ini.
"Kami telah menjalankan operasi dan tinjauan harga di seluruh negara bagi memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga dan mencatut barangan kelengkapan sekolah.
Kami akan lihat dan siasat punca kenaikan itu sama ada berlaku kegiatan pencatutan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Jika didapati mereka mengambil kesempatan menaikkan harga barang kerana kanak-kanak kembali ke sekolah, pihak kementerian akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik banyak ibu bapa mendakwa harga kelengkapan sekolah untuk tahun ini meningkat sehingga 30 peratus.
Menurut laporan itu, jika sebelum ini ibu bapa memperuntukkan sekitar RM100 hingga RM150 bagi seorang anak namun pada tahun ini mereka perlu menyediakan lebih RM200 untuk membeli pakaian sera-gam, kasut, beg dan alat tulis.
Mohd Roslan berkata yang banyak naik harga ialah pakaian sekolah sementara beg dan peralatan sekolah dijual pada harga yang sama tahun lalu atau lebih sedikit.
"Kami siasat sama ada kenaikan ini adalah kerana jenama dan barang diimport," katanya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, berkata PPIM menerima lebih 60 aduan ibu bapa berhubung kenaikan 30 hingga 40 peratus harga barangan keperluan sekolah sejak bulan lepas.
Nadzim turut menggalakkan badan-badan koperasi termasuk di sekolah menjual lebih banyak barangan keperluan itu dan dengan harga berpatutan.
Beliau berkata koperasi sekolah boleh membeli secara pukal barangan berkenaan dan menjual pada harga yang berpatutan.
Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan menasihatkan ibu bapa mengamalkan budaya 'mengitar' semula barangan dan kelengkapan lama sekolah anak-anak.
"Dalam situasi masa kini, kita tidak perlu membazir dan ibu bapa janganlah ikut kehendak hati anak-anak yang berterusan mahu barang yang baharu, sebaliknya ajarlah mereka memahami keadaan dan belajar menggunakan barangan yang masih boleh dipakai," katanya.
Dalam pada itu, rata-rata golongan ibu bapa yang ditemu bual Bernama berkata kenaikan harga barangan keperluan sekolah membebankan terutama bagi mereka yang anak ramai.
Normala Ali, 40, berkata dia memperuntukkan hampir RM1,500 bagi tiga anaknya yang bersekolah rendah dan menengah.
Setiap anak, katanya, sejumlah RM500 diperuntukkan bagi seorang anak bagi dua pasang baju, kasut serta beg dan peralatan bagi sekolah rendah harian dan agama.
"Itupun belum dikira lagi untuk sekolah menengah yang lagi mahal perbelanjaan selain duit buku dan sebagainya lagi," kata pegawai kerajaan yang mempunyai enam anak itu.
Shuhaila Mohd Kamal, 35, pegawai kerajaan yang mempunyai empat anak, berkata beliau memerlukan sekurang-kurangnya RM500 bagi membeli pakaian dan peralatan sekolah bagi dua anaknya.
"Memang syahdu pergi shopping baju-baju sekolah anak-anak baru-baru ini, sepersalinan termasuk beg, alat tulis dah cecah RM200 dan ini tidak termasuk buku-buku sekolah," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 #KPDNKK #PPIM #sekolah
;