Kena saman, AirAsia jawab kenapa enggan kutip caj tambahan
Ibrahim Sani
Disember 14, 2018 18:28 MYT
Disember 14, 2018 18:28 MYT
AirAsia tidak bertanggungjawab mengutip cukai lapangan terbang untuk Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Bhd (AAB), Riad Asmat, hari ini.
Menurutnya, AirAsia enggan mengenakan caj tambahan terhadap penumpang bagi pihak MASSB disebabkan beberapa faktor, termasuk tidak puas hati dengan kadar caj yang dikenakan.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, penumpang yang menggunakan klia2 tidak sepatutnya dikenakan kadar yang sama seperti penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Riad mendakwa, klia2 adalah terminal tambang rendah dengan tahap perkhidmatan yang disediakan kepada penumpang jauh lebih rendah berbanding KLIA, yang merupakan terminal perkhidmatan penuh.
"AirAsia sebelum ini membuat beberapa aduan rasmi berhubung infrastruktur dan akses di klia2 yang memberi kesan negatif terhadap prestasi operasi kami.
"Begitu juga dengan isu ketepatan masa, keadaan infrastruktur yang tidak memuaskan di klia2, kecacatan apron, kemurungan keadaan tanah di lapangan terbang itu dan banjir," katanya.
Editor Bisnes Astro AWANI Ibrahim Sani menerangkan isu PSC antara MASSB dan AirAsia
AirAsia juga mendakwa wujud masalah seperti saluran paip bahan api bocor serta tindakan penutupan pintu pagar yang berterusan serta lain-lain aduan lagi.
MASSB pada Isnin menuntut tunggakan berjumlah RM36.1 juta bagi PSC yang tidak dikutip daripada AirAsia X Bhd (AAX) dan AAB.
MASSB telah menyerahkan dua writ saman bagi menuntut RM26.71 juta dan RM9.39 juta, masing-masing kepada AAX dan AAB bagi PSC yang tidak dikutip di klia2.
"Kami telah mencuba beberapa kali dan tidak berjaya, untuk berbincang dengan MASSB mengenai isu ini. Malangnya, MASSB memutuskan membawa perkara ini secara terbuka dan mengambil tindakan undang-undang," kata Riad.
Menyatakan syarikat penerbangan biasanya mengutip caj perkhidmatan penumpang (PSC) atau lebih dikenali sebagai cukai lapangan terbang bagi pihak pengendali lapangan terbang sebagai sebahagian daripada tambang udara, Riad berkata AirAsia telah mengutip, bagi pihak MASSB, cukai lapangan terbang sebanyak RM50 daripada setiap penumpang antarabangsa bukan ASEAN yang berlepas dari klia2 sejak 1 Jan, 2017.
Setakat ini, katanya AirAsia telah membayar cukai lapangan terbang sebanyak RM663,051,008.52 kepada MASSB.
Menurut Riad, pada 1 Feb tahun ini, MASSB menaikkan cukai lapangan terbang yang dikenakan ke atas penumpang antarabangsa bukan ASEAN yang berlepas dari klia2 kepada RM73.
"Langkah menaikkan cukai lapangan terbang penumpang antarabangsa bukan ASEAN kepada RM73 daripada RM50 menyamakan PSC antara klia2 dan KLIA.
"AirAsia tidak bertanggungjawab mengutip cukai lapangan terbang bagi MASSB," katanya.
#AirAsia
#Airasia X
#API
#Astro
#Astro Awani
#banjir
#bocor
#caj penumpang
#CEO
#KLIA
#KLIA2
#MAHB
#Malaysia
#massb
#Media
#penerbangan
#Riad Asmat
#Sepang