Kemusnahan Hutan Simpan Segari Melintang: KASA kesan 6 ketidakpatuhan EIA
Harits Asyraf Hasnan
Januari 22, 2021 16:26 MYT
Januari 22, 2021 16:26 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mendapati terdapat enam ketidakpatuhan syarat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) susulan kerosakan yang berlaku di Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung, Perak.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia hasil siasatan awal di tapak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Jabatan Perhutanan Perak dan Pejabat Exco Alam Sekitar Perak sejak 18 hingga 20 Januari lalu.
"Siasatan awal di tapak mendapati enam ketidakpatuhan syarat kelulusan EIA telah dikenal pasti yang terutamanya melibatkan kerja-kerja tanah dijalankan tanpa mengikut pelan Land Disturbing-Pollution Prevention and Mitigation Measures (LD-P2M2) yang telah diluluskan.
"Pemaju juga telah gagal untuk memaklumkan JAS apabila kerja-kerja tanah dimulakan seperti mana yang dikehendaki dalam syarat-syarat kelulusan EIA.
"Perintah Berhenti Kerja (PL) di bawah Seksyen 34AA, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan pada 20 Januari 2021 bagi menghalang operator kuari beroperasi dan mengambil tindakan membaikpulih dilaksanakan dengan serta merta seperti kawalan hakisan, kawalan air larian permukaan, kawalan sedimen, penstabilan cerun dan penyelenggaraan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 juga telah dikeluarkan kepada penggerak projek pada 19 Januari 2021 untuk mengambil tindakan membaik pulih termasuk kerja-kerja pengawasan kualiti air dan mengemukakan laporan kepada JAS Negeri Perak dalam tempoh yang ditetapkan.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata gambar yang merujuk kepada kerosakan kepada Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) adalah kurang tepat dan mengelirukan.
Katanya, hasil siasatan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati air terjun tersebut masih berada dalam keadaan yang baik dan tiada kaitan dengan kawasan yang terjejas akibat aktiviti projek kuari berkenaan.
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#Kementerian Alam Sekitar dan Air
#Hutan Simpan Segari Melintang
#manjung
#Jabatan Alam Sekitar
#projek kuari
#gagal patuh EIA
#kemusnahan alam sekitar