Kemurungan dipercayai punca datuk tetak cucu hingga maut di Kinabatangan

Alexion Mairin
Mei 12, 2022 18:38 MYT
Jauteh ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Suspek warga emas yang ditahan ekoran kejadian menetak mati seorang bayi perempuan berusia enam bulan di Kinabatangan dipercayai mengalami masalah kemurungan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati suspek menghadapi masalah kemurungan berkenaan sejak dua tahun lalu.
“Salah satu punca suspek dikatakan semakin murung dan tertekan apabila anak perempuan ditahan oleh pihak penguatkuasa atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Keadaan itu dipercayai mengakibatkan suspek tertekan sehingga hilang kawalan dan melampiaskan emosi dengan mengamuk,” katanya.
Jauteh berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
BACA: Datuk kandung tetak cucu di kepala hingga maut, anak perempuan hampir putus telinga
Mengulas lanjut, Jauteh memaklumkan pihaknya sudah mengambil sampel darah suspek bagi mengenalpasti sama ada lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
“Suspek kini masih ditempatkan di hospital untuk rawatan lanjut berikutan mengalami kecederaan ketika ditahan oleh orang ramai selain ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, seorang bayi perempuan berumur enam bulan maut ditetak datuk saudaranya dalam kejadian di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, ibu bayi berkenaan yang berusia 35 tahun turut dilaporkan parah dengan kecederaan telinga sebelah kiri yang hampir putus.
#tetak cucu #Kinabatangan #warga emas kemurungan #Jauteh Dikun
;