Kemunculan kenderaan perisai Tarantula, Rentaka jadi tumpuan ramai pada Malaysia Autoshow 2024
Dagang News
Mei 24, 2024 11:00 MYT
Mei 24, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kemunculan kenderaan perisai buatan tempatan, Tarantula bersama Rentaka mencuri tumpuan pengunjung dan ianya memberi kelainan pada pameran Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Paling menjadi tumpuan adalah reruai Mildef International Technologies Sdn Bhd. (Mildef).
Penyertaan kali pertama Mildef memberi peluang kepada pengunjung terutama peminat automotif untuk mendekati kenderaan perisai yang dibangunkan oleh syarikat tempatan itu.
Tarantula merupakan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) manakala Rentaka pula adalah dari segmen kenderaan taktikal Armoured Personnel Carrier Multiple Capabilities (APCMC).
Walaupun kelihatan hampir sama tetapi kedua-duanya mempunyai keupayaan dan fungsi berbeza.
Pengarah Urusan Mildef, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata, kehadiran Tarantula dan Rentaka adalah bagi memperlihatkan kenderaan tersebut kepada umum.
Ia juga adalah sebahagian daripada kerja dan aktiviti pembangunan kenderaan khusus dan berperisai.
Menurut beliau, cuma bezanya kedua-dua kenderaan tidak dilengkapi senjatapi berbanding penyertaan pada mana-mana pameran pertahanan.
“Mildef mendapat jemputan daripada pihak penganjur Malaysia Autoshow 2024 iaitu Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii) untuk mempamerkan produk keluaran tempatan yang berkait bagi sektor automotif dalam industri pertahanan.
“Ini adalah kali pertama Mildef sertai pameran automotif di MAEPS dan sambutan adalah sangat memberangsangkan.
“Menerusi penyertaan ini kita berjaya mengubah tanggapan rakyat berkaitan kemampuan negara dalam menghasilkan kenderaan perisai di dalam negara Malaysia.
“Juga membuat pengunjung kagum dengan hasil rakyat Malaysia dan kepakaran anak tempatan dalam menghasilkan kenderaan perisai 4x4 dan lain-lain,” ujarnya.
Jelas Mohd Nizam, kenderaan Tarantula yang dipamerkan adalah varian awal.
“Pada varian terkini kita telah melakukan beberapa pengubahsuaian mengikut spesifikasi dan keperluan Tentera Darat.
“Kelebihan Mildef ialah kita membangunkan dan menawarkan kenderaan perisai yang dibina mengikut persekitaran Malaysia.
“Penyertaan Mildef dalam industri pertahanan dengan membina kenderaan perisai merupakan iltizam memastikan Malaysia tidak lagi bergantung terhadap ‘produk’ negara luar,” katanya.
Tambah Mohd Nizam, Mildef mahu menonjolkan kelebihan kepada umum inilah kenderaan perisai yang dibina anak tempatan menggunakan kemahiran dan teknologi yang kita miliki.
“Ramai yang teruja apabila dapat peluang melihat, naik dan bergambar dengan kedua-dua buah kenderaan perisai.
“Ini juga memberi satu pengalaman baharu kepada pengunjung khususnya para belia tentang cabang kejuruteraan automotif dalam industri pertahanan,” ujarnya.
Acara yang diadakan secara tahunan ini telah menarik penyertaan beberapa syarikat yang berkait rapat dengan industri automotif dan permotoran dari dalam dan luar negara.
Malaysia Autoshow 2024 bermula Selasa lalu berlangsung sehingga Ahad ini.
Orang ramai yang ingin melihat dengan lebih dekat kenderaan perisai Tarantula dan Rentaka, anda dijemput untuk mengunjungi Malaysia Autoshow 2024 di Dewan DG MAEPS. - DagangNews.com