Kemunculan harimau: 'Setakat ini tiada yang batalkan tempahan di Kuala Mu'
Sinar Harian
November 3, 2023 12:20 MYT
November 3, 2023 12:20 MYT
SUNGAI SIPUT: Kemunculan 'pak belang' di laluan utama ke Pos Kuala Mu, Selasa lalu tidak menjejaskan operasi ekopelancongan Orang Asli suku Temiar terlibat.
Pengurus chalet Kampung Bersah, Hassan Busu berkata, pihaknya masih menerima tempahan dan kehadiran pengunjung meskipun video harimau belang itu tular di media sosial.
Menurutnya, lokasi penemuan haiwan itu terletak sekitar lebih 18 kilometer daripada kawasan chalet.
"Kita ada menerima panggilan daripada pelanggan bertanyakan perkara itu selepas video harimau itu tular.
"Setakat ini tiada pula yang membatalkan tempahan menginap di chalet kami.
"Hutan sekitar sini merupakan habitat hidupan liar, namun tidaklah menghampiri penempatan penduduk terutama di Pos Kuala Mu ini cuma lokasi harimau ditemui itu lebih hampir dengan penempatan di RPS Legap," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Kata Hassan, pihaknya memberi jaminan kampungnya selamat dikunjungi oleh pelancong.
"Perkara ini sudah mendapat perhatian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak yang mengawal selia insiden berkaitan haiwan liar.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan harimau belang itu sudah kembali ke dalam hutan berdasarkan jejak yang ditemui," katanya.
Terdahulu, tular rakaman berdurasi tujuh saat memaparkan kelibat binatang buas itu.
Sementara itu, penduduk, Moleh M Rapi, 34 berkata, biarpun ketakutan, dia sempat merakam video harimau belang yang bersantai di tepi jalan ketika menuju ke rumahnya.
Menurutnya, sekitar jam 6.30 petang itu, terdapat empat harimau berada di kawasan itu dengan salah seekor menghampiri pacuan empat roda dipandunya.
"Kehadiran haiwan itu awalnya disedari oleh anak saudara perempuan yang menunggang motosikal. Dia berpatah balik dan menghubungi ayahnya untuk meminta bantuan.
"Bimbang keselamatannya saya turun ambil dan bertembung dengan haiwan itu. Semasa naik semula, harimau itu masih lagi ada di tepi jalan dan ketika itulah saya ambil video dan semuanya bersaiz besar," katanya.
Tok Batin Kampung Bersah, Hadu Long berkata, dia sentiasa mengingatkan penduduk untuk bergerak secara berkumpulan ketika memasuki hutan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Saya berpesan kepada anak-anak buah supaya jangan bergerak ketika waktu gelap dan segala urusan perlu dilakukan pada waktu siang.
"Kalau berkunjung ke sini lebih baik menaiki kereta berbanding bermotosikal agar keselamatan lebih terjamin," katanya. - Sinar Harian