Kemuncak operasi haji semasa Masyair, TH gembleng kerahan besar-besaran
Azlinariah Abdullah
Jun 10, 2024 10:00 MYT
Jun 10, 2024 10:00 MYT
MEKAH: Jemaah haji yang sakit dibantu menerusi "Safari Wukuf". Manakala yang tidak dapat dikesan, dicari dari bilik ke bilik. Begitu juga, jemaah yang belum keluar dari Masjidilharam akan diperiksa keberadaan mereka.
Ringkasan AI
- Jemaah haji yang sakit dibantu dengan program "Safari Wukuf", manakala yang tidak dikesan akan dicari dari bilik ke bilik, dan yang belum keluar dari Masjidilharam akan diperiksa.
- Operasi Masyair tahun ini sangat kritikal kerana permulaan pergerakan jemaah pada hari Jumaat, dengan lebih 3 juta umat Islam dijangka berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah.
- Pergerakan jemaah haji Malaysia akan berlangsung secara berperingkat pada hari Jumaat, dengan 20 bas disediakan, dan keselamatan serta bantuan diberikan sepanjang perjalanan menuju ke tempat melontar dan balik ke khemah.
Usaha dan rancangan itu adalah untuk memastikan kesemua jemaah haji Malaysia dan petugas boleh menyertai pergerakan untuk Operasi Masyair di Arafah pada 9 Zulhijjah dan hari-hari tashriq di Mudzalifah dan Mina sehingga 13 Zulhijjah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Operasi Masyair pada tahun ini menjadi sangat kritikal kerana permulaan pergerakan jemaah pada 8 Zulhijjah jatuhnya pada hari Jumaat.
"Kerana itu perancangan pergerakan perlu diatur dengan teliti lagi tersusun bagi memastikan ia lancar, tidak bertembung dengan jemaah lain yang mungkin turut sama bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah.
"Ini kerana dijangkakan lebih 3 juta umat Islam dari seluruh dunia akan berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah nanti," kata beliau.
Menurut Syed Saleh, perancangan yang dibuat TH merangkumi untuk jemaah dan petugas iaitu dari Mekah ke Arafah (22km), dari Arafah ke Mudzalifah (8 km), dari Mudzalifah ke Mina (6.9 km) dan dari Mina ke Mekah (7km), di mana kesemua mereka akan dipastikan akan menyelesaikan rukun haji, iaitu berwukuf.
Katanya, kesemua jemaah haji Malaysia akan bergerak secara berperingkat pada Jumaat (8 Zulhijjah) untuk bersama lebih 3 juta umat Islam dari seluruh dunia berwukuf di Arafah pada Sabtu (9 Zulhijjah), pada sebelah awal pagi, petang dan malam.
"(Sebanyak) 20 bas disediakan untuk kesemua mereka yang akan memulakan pergerakan ini pada 6 pagi, lewat pagi dan selepas solat Jumaat," katanya.
Beliau berkata, pergerakan dari Mekah ke Arafah dijangka mengambil masa antara satu dan dua jam, bergantung kepada keadaan lalu lintas memandangkan banyak laluan di sekitar Masjidilharam akan ditutup sejak pagi bagi solat Jumaat dan hanya akan dibuka semula pada sebelah petang.
Pada masa sama, katanya, pergerakan juga akan melibatkan lebih 600 petugas haji dengan sebilangan besar daripada mereka akan bergerak sebagai kumpulan awal (advance party) pada 7 Zulhijjah (13 Jun) untuk melakukan persiapan bagi menunggu ketibaan kumpulan pertama jemaah, dan selebihnya bergerak secara berperingkat.
Tambah beliau, sebilangan petugas akan menunggu di Mekah sehingga semua jemaah berlepas dan mereka akan melakukan semakan dari bilik ke bilik dan di Masjidilharam serta persekitarannya untuk memastikan tiada yang tertinggal untuk dibawa ke Arafah.
"Bagi jemaah yang berada di wad hospital pula, TH akan menyediakan empat buah bas khas yang diubah suai seperti ambulans untuk membawa mereka yang sakit untuk berwukuf melalui program 'Safari Wukuf'.
"Jemaah yang sakit akan dibawa ke Arafah selama dua jam dan selepas masuk waktu wukuf serta mendengar khutbah Arafah dibacakan petugas haji, mereka akan dibawa semula ke Pusat Rawatan TH Mekah untuk meneruskan rawatan," tambah beliau.
Dalam pada itu, Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH berkata, sekali lagi pada tahun ini, Kementerian Haji dan Umrah memberi Malaysia kelebihan untuk memilih waktu melontar bagi jemaah haji Malaysia untuk mengelakkan kesesakan.
"Jadi, kita telah memilih untuk menjalankan ibadah melontar ini pada waktu malam iaitu 8 malam hingga 12 tengah malam untuk mengelakkan jemaah haji terdedah kepada cuaca terlalu panas selain bagi menghindarkan kesesakan kerana bilangan jemaah pada waktu ini agak kurang," tambah beliau.
Bagi ibadah melontar, tambahnya, pihak Mashariq turut menyediakan anak batu dalam satu uncang untuk diedarkan sebelum bergerak ke Arafah supaya jemaah tidak lagi perlu mengutip batu apabila berada di Mudzalifah.
Untuk tujuan keselamatan serta bantuan kepada para jemaah jika diperlukan, TH menempatkan petugas di tempat-tempat tertentu sepanjang perjalanan menuju ke tempat melontar dan balik ke khemah.
Ini beberapa perkara penting perlu diketahui jemaah semasa Operasi Masyair:
1. Sebanyak 20 buah bas disediakan di setiap maktab untuk pergerakan pergi ke Arafah dan balik semula ke Mekah. Tidak ketinggalan, 10 buah bas bagi mereka yang akan membuat Nafar Awwal (selesai melontar jamrah pada 12 Zulhijjah) dan 10 buah bas lagi untuk mereka yang melaksanakan Nafar Thani (selesai melontar ketiga-tiga jamrah pada 13 Zulhijjah).
2. Jemaah haji akan bergerak secara berperingkat pada Jumaat (8 Zulhijjah) untuk berwukuf pada Sabtu (9 Zulhijjah).
3. Pergerakan bas bermula seawal 6 pagi, lewat pagi dan selepas solat Jumaat dengan 20 bas disediakan untuk kegunaan setiap maktab.
4. Perjalanan dari Mekah ke Arafah adalah sejauh 22 kilometer dan mengambil masa antara satu hingga dua jam bergantung kepada keadaan lalu lintas yang sesak akibat penutupan dan sekatan jalan.
5. Pergerakan dari Arafah ke Mudzalifah adalah sejauh lapan kilometer dan dari Mudzalifah ke Mina sejauh 6.9 kilometer. Ia akan dilaksanakan secara "shuttle".
6. Daripada 600 petugas haji, sebilangan mereka akan bergerak sebagai kumpulan awal (advanced party) pada 7 Zulhijjah (13 Jun).
7. Terdapat 315 sukarelawan yang terdiri daripada Sahabat Maktab akan membantu petugas haji memeriksa dari bilik ke bilik dan perkarangan Masjidilharam bagi memastikan semua jemaah bergerak ke Arafah pada masa ditetapkan.
8. Jemaah yang sakit akan turut dibawa ke Arafah melalui 4 buah bas yang diubahsuai sebagai ambulans dan berada di Arafah selama dua jam untuk berwukuf dan mendengar khutbah sebelum dihantar semula ke pusat rawatan melalui program dikenali Safari Wukuf.
9. Malaysia memilih waktu malam iaitu bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam untuk ibadah melontar kerana tidak mahu jemaah terdedah kepada cuaca panas melampau selain untuk mengelak kesesakan.
10. Anak batu untuk ibadah melontar disediakan oleh pihak Mashariq.
11. Petugas TH akan ditempatkan di sepanjang perjalanan menuju ke tempat melontar untuk tujuan keselamatan dan beri bantuan kepada jemaah jika diperlukan.