Kemuncak hujan meteor Perseids dijangka malam 12 Ogos

Astro Awani
Ogos 10, 2024 02:30 MYT
Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle. - Foto Facebook/Agensi Angkasa Malaysia - MYSA
KUALA LUMPUR: Kemuncak fenomena hujan meteor Perseids dijangka berlaku pada malam 12 Ogos hingga subuh 13 Ogos ini dengan purata 100 meteor per jam.
Agensi Angkasa Negara (MYSA) dalam satu kenyataan memaklumkan, di Malaysia, penampakan hujan meteor berkenaan adalah baik kerana bulan akan terbenam pada tengah malam ketika waktu kemuncak fenomena terbabit berlaku.
Hujan meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit, iaitu di kawasan buruj Perseus.
Bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle.
MYSA menjelaskan, komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus berdiameter sebesar 26 kilometer (km) dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.
Menurutnya, kali terakhir komet itu mendekati bumi ialah pada 1992 dan dijangka menghampiri bumi semula pada 2126.
Bagi mencerap hujan meteor perseids, MYSA berkata, antara langkah boleh diambil ialah berada di kawasan lapang yang selamat serta keadaan persekitaran dan langit gelap atau tiada gangguan cahaya, selain pandangan tidak terhalang dengan bangunan tinggi, pokok atau rumah.
#hujan meteor Perseids #MYSA #Fenomena #komet Swift-Tuttle