Kemuncak fenomena hujan meteor Perseids bermula lewat malam ini
Bernama
Ogos 13, 2023 23:25 MYT
Ogos 13, 2023 23:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kemuncak fenomena hujan meteor Perseids akan dapat disaksikan di ruang angkasa negara pada lewat malam ini sehingga awal pagi esok (14 Ogos).
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (MYSA), fenomena itu dapat dilihat secara purata 100 meteor per jam, dalam keadaan langit yang gelap dan cuaca baik.
"Kenampakan hujan meteor itu adalah bagus kerana Bulan Sabit Tua (5.4 peratus) yang akan terbit kira-kira 5.25 pagi tidak menjejaskan kenampakan hujan meteor Perseids," menurut kenyataan itu.
Fenomena hujan meteor Perseids berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle.
Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.
Komet ini kali terakhir mendekati bumi pada 1992 dan dijangkakan menghampiri bumi semula pada 2126.
Menurut MYSA, semasa komet itu mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet berkenaan, yang akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
Bagi mencerap hujan meteor Perseids, orang ramai boleh mengambil beberapa langkah antaranya, berada di kawasan lapang yang selamat serta keadaan persekitaran dan langit yang gelap (tiada gangguan cahaya) serta memastikan pandangan tidak terhalang dengan bangunan yang tinggi, pokok atau rumah.
-- BERNAMA