Kemuka dokumen palsu, tiga pemilik syarikat didenda RM50,000

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 29, 2022 16:04 MYT
Tiga pemilik syarikat mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat pembersihan, tiga tahun lalu. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini memerintahkan tiga pemilik syarikat masing-masing membayar denda RM50,000 selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat pembersihan, tiga tahun lalu.
Tertuduh Mohamad Asri Sapar, 48, Roslan Jaafar, 52, dan Mohamad Shamsul Aizat Mohd Salleh, 31, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mahkamah turut memerintahkan supaya kesemua tertuduh yang dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.
Namun seorang lagi tertuduh, Zamri Mohamad, 53, yang turut didakwa di bawah seksyen sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selepas hakim menetapkan 26 September ini sebagai tarikh serahan dokumen.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Asri didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun Maybank Islamik Syarikat Itifaq Venture (M) Sdn Bhd bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender tersebut.
Roslan pula dituduh menggunakan penyata akaun Maybank Syarikat D Hujung Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018, manakala Mohamad Shamsul Aizat didakwa menggunakan penyata akaun CIMB atas nama Exeliq Trading and Engineering Sdn Bhd bagi tempoh sama.
Mohamad Asri dan Mohamad Shamsul Aizat didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman Sdn Bhd masing-masing pada 14 Januari 2019 dan 17 Januari 2019, sementara Roslan turut melakukan kesalahan antara 11 Februari hingga 5 Mac di lokasi dan tahun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala ketiga-tiga tertuduh terbabit tidak diwakili peguam.
Zamri yang diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dituduh menggunakan penyata akaun Maybank milik NSZ Arked Entreprise yang palsu bagi memperolehi tender di Wisma Idaman, pada 22 Februari 2019.
Harmi Thamri sebelum menjatuhkan hukuman kepada ketiga-tiga tertuduh yang mengaku bersalah, mengingatkan mereka supaya tidak mengulangi perbuatan itu dan mendapatkan sesuatu tender mengikut cara yang betul.
Keempat-empat tertuduh membayar denda yang dikenakan termasuk wang jaminan terhadap Zamri.
#kemuka dokumen palsu #pemilik syarikat didenda #Mahkamah Sesyen Alor Setar #tender syarikat pembersihan
;