Kemudahan kesihatan swasta di Sarawak sedia dijadikan pusat vaksinasi
Bernama
Mac 6, 2021 17:18 MYT
Mac 6, 2021 17:18 MYT
KUCHING: Kemudahan penjagaan kesihatan swasta di Sarawak sudah bersiap sedia bagi membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan program vaksinasi, menurut Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS).
Presidennya Dr Liew Shan Fap berkata hospital swasta dan klinik pengamal perubatan am (GP) juga sudah bersedia untuk disenaraikan sebagai pusat vaksinasi COVID-19 dalam negara.
"Sarawak menyasarkan untuk menyelesaikan vaksinasi menjelang Ogos ini, enam bulan lebih awal daripada sasaran negara pada Februari 2022. Kita perlu melibatkan semua orang di negeri ini untuk mencapai sasaran ini.
"Hospital swasta dan klinik GP sedia dimasukkan sebagai pusat vaksinasi pada fasa 2 dan fasa 3 program vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu Dr Liew berkata pelaksanaan vaksinasi COVID-19 di Sarawak berjalan dengan lancar, dan negeri ini berjaya begerak lebih pantas dalam memberikan suntikan kepada para petugas barisan hadapan berbanding negeri-negeri lain.
Katanya kerajaan negeri terutama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak telah melakukan tugas yang baik sehingga mencapai kejayaan ini.
"Semua petugas barisan hadapan dari sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta menerima vaksin COVID-19 sejak program vaksinasi dilancarkan di negeri ini. Bagi pihak SPMPS, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas usaha mereka untuk memasukkan doktor swasta dalam program vaksinasi fasa awal," katanya.
-- BERNAMA
#hospital swasta
#perubatan
#pusat vaksinasi
#vaksin
#Sarawak
#COVID-19
#pandemik
#Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak
#spmps