Kemudahan di hospital dipertingkat, rawat pesakit COVID-19 dan pesakit biasa

Astro Awani
Julai 9, 2021 15:52 MYT
Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sewaktu lawatan di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat. - Astro AWANI
KEPALA BATAS: Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memastikan semua kemudahan di setiap hospital di negara ini mencukupi untuk menerima seterusnya merawat pesakit kes jangkitan COVID-19 atau pesakit biasa.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata semua pesakit yang dimasukkan ke wad di hospital akan menerima rawatan terbaik walaupun berlaku kesesakan di beberapa hospital terutama di Lembah Klang, ekoran peningkatan kes COVID-19.
Beliau berkata, kerajaan memahami keadaan semasa yang dihadapi rakyat dan juga petugas kesihatan yang semakin tertekan berikutan kes jangkitan COVID-19 tidak menunjukkan tanda penurunan.
Justeru, tindakan susulan sudahpun dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut antaranya menambah bilangan katil, mobilisasi kakitangan termasuk kerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membina hospital medan bagi membantu hospital-hospital yang berdepan dengan peningkatan kes mendadak.
"Kerajaan telah buat tindakan yang pantas untuk memperkasakan hospital COVID-19, hospital hibrid, dan hospital universiti.
"Di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), kita akan menambah bilangan katil, unit rawatan rapi (ICU), meningkatkan peralatan perubatan dan menggerakkan kakitangan berpengalaman.
"Kita juga bekerjasama dengan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mewujudkan Hospital Medan, di HTAR Klang, (termasuk) menambahkan katil. Mobilisasi libatkan pakar perubatan, paramedik dan pekerja sosial," ujar beliau.
Dalam masa sama katanya, bagi mengurangkan tekanan petugas kesihatan yang kini keletihan, pihaknya akan menambah bilangan sukarelawan termasuk menyambung kontrak petugas kesihatan bagi membantu mana-mana hospital seluruh negara yang berdepan dengan peningkatan kes.
Mengulas mengenai pemberian vaksin, Noor Azmi berkata jumlah pemberian dos suntikan vaksin di negara ini terus meningkat melebihi 300,000 dos sehari.
Peningkatan pemberian vaksin sekali gus dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok seperti yang ditetapkan.
"Program suntikan (vaksinasi) kini di akhir Fasa 2 dan kita sudah hampiri Fasa 3.. iaitu semua 18 tahun ke atas (sudah boleh) untuk ambil suntikan. Kita sudah capai 300,000 dos diberikan dalam masa sehari," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat.
#Hospital #kemudahan #pesakit #COVID-19 #kesesakan hospital #Timbalan Menteri Kesihatan #Noor Azmi Ghazali
;