Kempen vaksin polio di Gaza terhenti akibat pengeboman - WHO

Bernama
Oktober 23, 2024 23:30 MYT
Menurut WHO, sekitar 120,000 kanak-kanak di bawah usia 10 tahun sepatutnya menerima dos kedua vaksin itu. - Gambar fail/Reuters/Ramadan Abed
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu memaklumkan bahawa kempen vaksinasi polio di utara Gaza terpaksa ditangguhkan berikutan pengeboman oleh Israel dan perpindahan penduduk, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut WHO, sekitar 120,000 kanak-kanak di bawah usia 10 tahun sepatutnya menerima dos kedua vaksin itu.
Pusingan pertama vaksin berjaya disempurnakan pada pertengahan September selepas kes pertama polio dalam tempoh 25 tahun dikesan di Gaza.
Di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Gaza, hampir 443,000 kanak-kanak menerima dos kedua vaksin itu, menurut WHO.
Israel meningkatkan serangan di utara Gaza manakala beribu-ribu penduduk diarahkan meninggalkan rumah mereka.
WHO turut memaklumkan bahawa jeda kemanusiaan yang dijanjikan bagi membolehkan kempen vaksin dijalankan tidak dihormati, dan zon gencatan senjata yang dipersetujui telah dikurangkan.
Jeda ini dirancang bagi membolehkan orang ramai membawa anak-anak mereka ke pusat vaksinasi atau pasukan bergerak memberikan vaksin di rumah atau tempat perlindungan.
WHO memberi amaran mengenai kesan penangguhan program vaksinasi itu.
"Kegagalan memberikan dos kedua vaksin kepada sejumlah besar kanak-kanak akan menjejaskan usaha menghentikan penularan virus polio di Gaza," menurut WHO dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
#gencatan senjata #program vaksinasi #polio #WHO
;